WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Wednesday, September 8, 2010

KDN nafi campurtangan urusan polis



Kementerian Dalam Negeri hari ini menafikan dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat campurtangan pihak ketiga dalam urusan kepolisian.

Ketua setiausahanya, Tan Sri Mahmood Adam yang membaca kenyataan tiga mukasurat itu berkata beberapa karenah birokrasi mungkin memberi kesan kepada pasukan itu.

"Ada kalanya, cadangan oleh polis tidak dipertimbangkan sepenuhnya oleh kementerian dan mungkin ini dilihat sebagai 'campurtangan' dalam urusan harian polis.

"Pada masa yang sama, tugas dan khidmat utama PDRM adalah tanggungjawab mereka sendiri dan isu campurtangan oleh kementerian tidak wujud,” kata Mahmood dengan ringkas dan secara tergesa-gesa pada sidang media selepas majlis penyerahan tugas dari Musa kepada timbalannya, Tan Sri Ismail Omar yang dilantik sebagai ketua polis yang baru.

Isnin lalu, Musa meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

"Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.

"Jadi, tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang berkuatkuasa 12 Sept ini.

Ketika ditanya mengenai bagaimana perasaannya apabila diumumkan beliau tidak akan disambung kontrak tempoh hari, Musa berkata perkara terbabit tidak diketahuinya sehinggalah pengumuman dibuat.

"Tiada orang bagi tahu saya mengenai perkara itu. Saya tahu sendiri apabila ia diumumkan," katanya.

Namun Mahmood hari ini menyangkalnya dan berkata beliau secara lisan telah memaklumkan kepada Musa bahawa kontraknya tidak akan dilanjutkan seminggu sebelum pengumuman itu dibuat dan pada pagi itu sebelum sidang media bermula.

“Secara kebetulan, kontraknya berakhir pada hujung minggu Hari Raya, sebab itu kami mengumumkannya lebih awal,” kata Mahmood.

Pada ucapan perpisahannya, Musa menginggatkan anggota polis supya kekal setia meskipun “menerima tekanan dari pitak atasan dari dalam dan juga luar”.

“Jangan jadi 'yes men'. Jangan jadi orang suruhan. Jika polis terdiri daripada orang suruhan, seluruh pasukan akan busuk dan musnah,” katanya.

Beliau juga mengingatkan anggota polis supaya tidak berpuak-puak.

“Zaman saya tidak ada sesiapa pegawai yang tahu siapa yang rapat dengan saya. Saya tidak pernah memanggil mana-mana pegawai ke rumah saya atau keluar untuk makan minum dengan mereka.

"Ini menjadikan kerja lebih mudah, kerana tidak ada pegawai yang mengampu saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails