KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
HAPUS UPSR DAN PMR: KEM. PELAJARAN PERLU NYATAKAN KEWAJARAN DAN
PELAN ALTERNATIF
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) tidak menolak atau menerima cadangan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang diumumkan oleh Menterinya pada Ahad lepas. DPPWP mahu kerajaan membentangkan terlebih dahulu kewajaran penghapusannya dan cadangan penilaian alternatif kepada para pelajar sebagai mengantikan dua peperiksaan ini.
Selama ini rakyat sudah biasa dengan struktur pendidikan yang menerapkan dua peperiksaan ini bagi menentukan kelayakan dan tahap pengetahuan seseorang pelajar itu sebelum mereka ditawarkan memasuki sekolah berasrama penuh diperingkat Menengah Rendah dan bidang pengkhususan seperti Sains, Sastera, Vokasional dan Ekonomi di peringkat Menengah Tinggi.
Tetapi jika peperiksaan ini dihapuskan, maka perlu ada satu pelan alternatif dari pihak kementerian menentukan hala tuju perkembangan pendidikan pelajar dinegara ini.
Kita juga tidak menafikan bahawa sistem exam oriented memberikan beban kepada pelajar dan ibu bapa yang terpaksa memberikan banyak fokus untuk persaingan merebut kedudukan yang terbaik.
Berdasarkan pemerhatian DPPWP, sistem pendidikan di Jepun tidak menekankan keperluan mengadakan peperiksaan besar secara kerap. Peperiksaan besar atau khas hanya diberikan kepada pelajar ketika mereka mahu memasuki sesebuah sekolah atau institusi sahaja.
Sebagai contoh seorang pelajar Sekolah Rendah yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat menengah rendah disekolah lain diwajibkan mengambil peperiksaan khas yang dikelolakan oleh sekolah baru itu untuk menilai tahap kecenderungan dan pengetahuannya.
Tetapi bagi pelajar yang hanya melanjutkan persekolahan Menengah Rendah yang diuruskan oleh Sekolah yang sama mereka tidak perlu mengambil apa-apa peperiksaan selagi mereka tidak keluar dari sekolah itu. Mereka hanya mengambil peperiksaan biasa untuk menentukan mereka layak melanjutkan pelajaran ke gred seterusnya atau perlu kekal atau boleh melompat terus ke gred yang lebih tinggi dari sepatutnya bagi pelajar Genius.
Di England pula para pelajar diwajibkan bersekolah sehingga berumur 15 tahun (Sekolah Menengah). Menariknya, sekolah rendah mereka bermula dari umur 7-10 tahun dan Sekolah Menengah bermula dari umur 11-15 tahun. Ini bermakna, mereka mengiktiraf sistem Islam yang meletakan tempoh akil baligh (Matang) seseorang manusia itu adalah selepas umur 10-15 tahun, dan pada usia sebegitu para pelajar layak diberikan pendidikan yang lebih advance dan praktikal.
DPPWP melihat sistem pendidikan di England hanya memulakan peperiksaan besar (General Certificate of Secondary Education (GCSE)) ketika pelajar berumur 15 tahun atau sama seperti peperiksaan PMR di Malaysia.
Peperiksaan ini bertujuan untuk melihat kecenderungan pelajar yang lebih memfokuskan kerjaya masa depan mereka dan selepas peperiksaan GCSE ini mereka boleh memohon untuk menyambung pelajaran Tingkatan Enam di Sekolah, Kolej Komuniti atau Kolej yang menawar pendidikan persedian ke Universiti. Pada level ini mereka dikehendaki mengambil A-Level (Advance Level Exam) bagi tujuan kemasukan ke Universiti.
Secara ringkasnya, DPPWP melihat bahawa negara maju mengambil dasar bahawa setiap rakyatnya berhak mendapat pendidikan asas sekurang-kurang sehingga berumur 15 tahun tanpa adanya bebanan peperiksaan besar yang banyak.
Menariknya, pembinaan kematangan pelajar dibuat lebih awal iaitu sejak umur 10 atau 11 tahun dan seterusnya subjek yang diajarkan juga banyak menekankan soal Bahasa Ibunda, Bahasa Ketiga, Agama, Matematik, Sains dan Teknologi, Komputer, Sukan serta Vokasional (Meliputi Musik, Seni Perindustrian, Teknologi Jentera dan Mesin, Ekonomi dan sebagainya).
Walaubagaimana pun, setiap pelajar diberikan ruang memilih subjek yang menjadi kecenderungannya supaya mereka boleh fokus.
DPPWP juga mahu Kementerian Pelajaran mengambil kira peluang-peluang pendidikan lanjutan seperti program Asrama Penuh, MRSM, Vokasional, pendidikan Sains, Ekonomi dan Sastera serta bentuk penilaian alternatif kepada para pelajar jika peperiksaan UPSR dan PMR dihapuskan.
Kita mungkin mahu meniru negara maju yang memberikan ilmu secukupnya (termasuk kemahiran) kepada para pelajar sehingga berumur 17 tahun, tetapi kita juga kena membina program yang dapat membentuk kematangan mereka dan peluang untuk mereka memilih kecenderungan.
Sekurang-kurangnya, sebelum pelajar ini mengambil SPM mereka sudah tahu fokus mereka dan tahu ke mana mereka nak pergi selepas peperiksaan SPM.
Yang pasti kita mahu ilmu yang mereka pelajari disekolah bermanfaat untuk mereka. Sekurang-kurangnya, jika mereka tidak dapat masuk ke universiti mereka boleh gunakan ilmu dan sijil mereka untuk bekerja atau menjadi usahawan.
DPPWP mahu kerajaan menganalisis keperluan dan mengemukakan pelan alternatif segera disamping menunggu cadangan balas dari rakyat.
Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan |
No comments:
Post a Comment