KOTA BHARU, 7 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menolak permohonan peguam Petronas agar kerajaan Pusat dilibatkan bersama dalam isu pertikaian hak royalti negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, penolakan itu dibuat kerana kerajaan negeri berpendapat kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam isu saman tersebut.
Saman tersebut, jelasnya hanya melibatkan Petronas yang melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri bagaimanapun bersetuju dengan permohonan mereka satu lagi iaitu memberi tempoh lanjutan mengemukakan afidavit pembelaan terhadap saman kerajaan negeri.
"Kita dah bincang dengan Menteri Besar, dan kita bersetuju untuk memberi masa lanjutan kepada Petronas untuk memfailkan afidavit pembelaan.
"Adapun berhubung penyertaan kerajaan pusat itu, kita bersetuju untuk menolak, kerana kita saman Petronas yang memungkiri kontrak, kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam hal ini," katanya pada satu majlis di sini, semalam.
4 Oktober lalu adalah merupakan tarikh akhir bagi Petronas mengemukakan afidavit pembelaan mereka namun ianya belum dibuat.
Mereka bagaimanapun mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kelantan agar dilanjutkan tempoh tersebut.
Penjelasan itu juga merupakan perkembangan terbaru isu tersebut selepas Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.
Dalam perkembangan lain, banyak pihak menjangkakan isu tuntutan royalti ini menjadi topik utama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November nanti.
Isu ini juga menarik perhatian ramai apabila bakal memperlihatkan pendirian veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga disebut-sebut sebagai pengarah pilihan raya Umno BN bagi PRK Galas.
Beliau sebelum ini satu-satunya pemimpin Umno yang lantang menyokong tindakan kerajaan negeri menyaman Petronas menuntut hak royalti minyak.
No comments:
Post a Comment