KOTA BHARU, 10 Jun - Forum Pakatan Rakyat perlu lebih kerap diadakan dalam memurnikan kesepakatan dan mewujudkan persefahaman antara PAS, DAP dan KeADILan sekaligus membantu menarik sokongan rakyat.
Demikian gesaan perwakilan Selangor, Khairul Fahmi Mat Som semasa membahaskan Ucaptama Ketua Pemuda PAS Pusat pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-51 di Kelantan Trade Centre, di sini 10 Jun lalu.
Menurut beliau, hubungan sesama komponen Pakatan Rakyat membolehkan PAS meraih situasi menang-menang sekaligus meraih manfaat bersama.
Perkara itu jelasnya sepertimana yang dapat disaksikan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu di mana PAS dapat menembusi Dun Nangka bertemu pengundi Melayu di situ serta membawa calon DAP.
Selain itu gesanya, polisi kesaksamaan, program kebajikan serta hebahan makluman dan sistem penerangan perlu dipertingkatkan dalam usaha menarik sokongan undi Melayu dan bukan Melayu.
Terdahulu menyentuh mengenai undi kepada PAS dalam pilihan raya, beliau menjelaskan bahawa PAS telah menerima lonjakan besar sejak 1990.
Secara khusus katanya, kawasan yang ditandingi PAS perlu diberi perhatian kepada pengundi Melayu untuk terus meraih undi agar kemenangan dapat dikekalkan dan dilebarkan.
Selain itu katanya, pengundi bukan Melayu perlu terus didekati kerana mereka semakin tertarik perhatian kepada Pakatan Rakyat.
Sementara itu, perwakilan Melaka menyifatkan keghairahan menarik sokongan bukan Melayu hingga mengabaikan pengundi Melayu.
Mengambil bahagian membahaskan Ucaptama Ketua Pemuda PAS Pusat pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-51 di Kelantan Trade Centre di sini 10 Jun lalu, beliau menegaskan PAS perlu lebih ke hadapan dalam menangani isu-isu orang Melayu.
Hakcipta Terpelihara © 2010 Parti Islam Semalaysia (PAS) Pusat
No comments:
Post a Comment