WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Friday, June 11, 2010

Judi Internet kembali aktif di Kulim



KULIM 10 Jun - Setelah sepi seketika, daerah ini kini kembali menjadi lubuk kegiatan pusat judi tanpa lesen apabila hampir 100 premis kafe siber dikesan menjalankan aktiviti berkenaan.
Ketua Polis daerah, Supritendan Ghuzlan Mohd. Salleh berkata, operasi judi haram di kafe siber itu dikesan kembali aktif sejak tiga bulan lalu.
Lebih membimbangkan, katanya, polis turut mengesan kemasukan mesin-mesin judi dan lambakan komputer secara luar biasa ke kawasan ini sejak beberapa minggu lalu.
Berikutan itu, pihaknya kini mengambil langkah bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Daerah Kulim untuk membatalkan lesen premis pusat judi Internet.
''Kita telah bekerjasama dengan pejabat daerah untuk batalkan lesen. Selain itu, polis turut meminta kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik di premis-premis terlibat.
''Sehingga kini, sebanyak 43 premis kafe siber telah dikenakan tindakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Ghuzlan, sejak kembalinya berleluasa kegiatan itu, para pegawai dan anggotanya terpaksa melipatgandakan usaha membanteras kegiatan melalui intipan dan serbuan.
''Operasi dijalankan hampir setiap hari dan ini menyebabkan jumlah rampasan dan tangkapan meningkat. Untuk seorang pegawai penyiasat sahaja, secara purata mereka berjaya rampas kira-kira 60 komputer setiap hari," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, para penganjur judi Internet juga dikesan makin licik dan bertindak membuka semula premis walaupun telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
''Apabila kita tutup hari ini, esok mereka buka semula. Malah, ada juga yang bertindak mencuri bekalan elektrik untuk membolehkan operasi kafe siber judi Internet beroperasi," katanya.
Ditanya sama ada kegiatan tersebut mempunyai kaitan dengan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010, Ghuzlan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tentang perkara berkenaan.
''Kita akan pantau perkara ini, lebih-lebih lagi pada masa sebegini kegiatan judi akan bertambah aktif," katanya.
Bagi mengatasi masalah berkenaan, Ghuzlan berkata, pihaknya akan mengambil langkah tegas termasuk mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat perkhidmatan internet pada premis yang dikesan menganjurkan judi.
Pada masa sama, katanya, kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat untuk membanteras kegiatan judi Internet di daerah ini juga sangat diharapkan.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai penganjur kegiatan judi Internet boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4906222.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails