Artikel berikut di ambil dari surat pembaca yang disiarkan dalam majalah Kenchana bilangan 6, keluaran bulan Jun 1947.
SEDIKIT RIWAYAT MERAH PUTEH
oleh Hamzah
Dizaman ini dimana kapal pergerakan bangsa kita sedang mengharongi lautan perjuangan, sudah tentu sekali kapal itu berhajat kepada suatu chogan yang akan mengenalkan kepada dunia, kapal siapakah yang sedang berlayar dilautan perjuangan? Selainnya Sang Saka Merah Puteh menjadi lambang sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang akan mempertahankan ketinggian saka-nya biar batang tuboh-nya rebah kebumi.
Dunia kapal pergerakan bangsa kita yang terbesar sekali ialah kapal Pertubohan Kebangsaan Melayu (UMNO) dan kapal Party Kebangsaan Melayu (MNP), sedang bertelagah atas so’al bendera. Pekemam tidak beranjak dari pegangannya bahwa bendera kebangsaan Melayu ialah Merah Puteh. Sebaleknya pula Pekembar memakai juga Merah Puteh, tetapi ditambah bulan dan keris.
Darimanakah timbulnya Sang Saka Merah Puteh dan sejak bilakah bendera ini zahir kedunia. Kerana disini tidak akan saya terangkan bendera mana yang dipakai bangsa kita, biarlah saya kembali ketajok karangan saya untok menerangkan sedikit riwayat Merah Puteh.
Sejak beberapa abad kebelakang iaitu diabad ke 17 sewaktu kerajaan Madjapahit memegang tampok pemerentahan seluroh kepulauan Indonesia, adalah lambang Madjapahit Sang Saka Merah Puteh.
Menekala kerajaan Madjapahit lenyap dari muka yang diganti dengan kerajaan Mataram turut sama menjadikan Merah Puteh chogan pemerentahannya sehingga hari rebah kerajaan Mataram ditahun 1735.
Didalam peperangan Djawa dibawah pimpinan Pangeran Diponegoro bendera Merah Puteh tetap menjadi semboyan bangsa Djawa yang menentang penjajahan Belanda.
Tanah Melayu pula Melaka lah menggunakan Merah Puteh sebagai saka bangsa. Apabila jatoh kerajaan Melaka pada tahun 1511 Merah Puteh lenyap riwayatnya dikepulauan Indonesia.
Riwayat Merah Puteh hidop semula dengan adanya Congress Indonesia Raya yang diadakan ditahun 1939 bertempat di-Djakarta. Persidangan itu memutuskan bahwa Merah Puteh adalah bendera kebangsaan Indonesia Raya.
Baharu2 ini Persidangan Partai Kebangsaan Melayu menegaskan bendera kebangsaan Melayu ialah, Sang Saka Merah Puteh.
Sesunggohnya Merah Puteh mengandong erti yang besar bagi kita. Merah berarti darah, Puteh berma’na suchi. Apa bila kesuchian mahu dipadam-kan, darah akan tertumpah sebagai pembelaan. Kini terpulanglah kepada kita semua menentukan bendera manakah yang patut dijadikan lambang perjuangan kita.
No comments:
Post a Comment