WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Sunday, June 13, 2010

BN anjur program tarik sokongan orang muda



Salhan K Ahmad
Jun 12, 10
8:17pm
Kerajaan akan menganjurkan program yang sesuai dengan selera golongan muda masa kini bagi memastikan sokongan mereka tetap memihak kepada BN, kata pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. 

Katanya, program berkenaan telahpun digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) yang dibentangkannya kelmarin. 

"Sekarang sudah ada petanda golongan muda dalam negara ini bukan menolak establishment dan tidak menolak BN. Mereka semakin hari semakin dekat dengan BN. 

"Kita akan terus berusaha supaya perkara ini akan menjadi lebih kukuh dan mantap lagi. Dalam RMK10 yang telah dibentangkan kelmarin, kita telah huraikan pelbagai program untuk perjuangkan kepentingan golongan muda," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Rally 1Malaysia yang menghimpunkan lebih 10,000 golongan muda di Stadium Putra, Bukit Jalil petang ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata golongan muda juga tidak seharusnya mendengar hujah daripada pembangkang yang memperlekehkan kemampuan BN dalam mentadbir negara. 

"Jangan sesiapa cuba perlekehkan kemampuan Malaysia. Jangan ketua pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nak memperkecilkan negara Malaysia kita ini. Kita lebih tahu apa yang dia buat," katanya sambil tersenyum. 

Bagaimanapun, melihat reaksi yang hambar kepada tindakannya untuk mengaitkan Anwar, Najib kemudiannya berkata prestasi Malaysia yang dimaksudkannya itu adalah berdasarkan indeks kompetitif yang ditunjukkan oleh negara. 

"Dalam senarai negara berdasarkan indeks kompetitif global, sebuah (firma) perundingan pengurusan membuat penilaian, dalam masa setahun, Malaysia telah melonjakkan kedudukan daripada kedudukan ke-18 ke tangga ke-10 terbaik di dunia," katanya.

Tambahnya, mengikut penilaian berkenaan, prestasi Malaysia adalah lebih baik daripada negara yang dahulunya menjajah negara ini, malah lebih baik daripada negara Jepun. 

"Sekarang kita berada 13 mata lebih baik daripada Jepun. Dalam senarai 10 negara ini, tiada negara OIC lain, tiada negara NAM. Kita berada dalam senarai sepuluh buah negara yang kompetitif di dunia," katanya lagi. 

"Jangan takut kerana BN sudah ada di sini. Kita ada di sini untuk membantu belia melangkah ke hadapan. 

"Malaysia telah berjaya, orang dunia kata kita berjaya, pembangkang menidakkan kita tapi dunia kata Malaysia telah bangkit daripada kedudukan ke-18 hingga ke-10. Jangan ketua ranting mana, pembangkang mana atau mana kelompok pembangkang mana cuba nak menidakkan kita," katanya disambut tepukan hadirin. 

Katanya, kejayaan BN mentadbir negara ini juga dilihat dalam pencapaiannya merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lebih 10 peratus dalam suku pertama tahun ini. 

"Dalam suku pertama tahun ini kita pulihkan ekonomi Malaysia.Negara Greece, Spain, Portugal, hatta United Kingdom pun sekarang dalam keadaan tertekan, tapi dalam suku pertama tahun ini ekonomi kita pulih 10.1 peratus pertumbuhan. 

"Ini jasa siapa? Peranan siapa? Ini peranan BN yang disokong tuan-tuan sekalian," katanya lagi yang turut disambut tepukan. 

Najib kemudiannya turut melancarkan Bas JOM (Jelajah 1Malaysia) yang akan dikenderaani Pemuda BN untuk menerangkan konsep 1Malaysia. 

"Bas ini akan bawa harapan untuk untuk satu masa depan lebih baik bawah BN, itu dia maknanya. 

"Bukan saja lambang BN, bukan saja simbol 1Malaysia tapi bila kita campur BN dan 1Malaysia, kita dapat masa depan lebih baik untuk negara kita," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails