Persoalan Islamofobia biasanya dikaitkan dengan kesan-kesan yang timbul akibat sikap dan tindakan strategi musuh Islam, terutamanya golongan Yahudi yang sengaja melakukan serangan psikologi terhadap Islam. Justeru Islamofobia difahami sebagai prasangka terhadap Islam atau Muslim. Berdasarkan takrif British Runnymede Trust (1997), Islamofobia sebagai ketakutan atau kebencian terhadap Islam dan kerana itu timbul rasa takut dan tidak suka terhadap semua orang Islam. Lebih mempengaruhi lagi, apabila peristiwa serangan 11 September 2001 ke atas menara kembar World Trade Center (WTC) di New York City, Amerika Syarikat telah dikaitkan dengan aktiviti pengganas puak Islam.
Sehubungan itu, Islamofobia secara khusus ditujukan kepada amalan diskriminasi ke atas umat Islam yang melibatkan tindakan mendiskriminasi ekonomi, sosial dan kehidupan mereka dalam sebuah negara. Akibat diskriminasi itu maka tercetusnya persepsi negatif tentang ajaran Islam dan umat Islam bahawa Islam tidak mempunyai nilai-nilai yang dapat dikongsi dengan budaya penganut dan ajaran agama-agama lain. Malah paling malang lagi apabila Islamofobia itu dijadikan senjata politik pihak-pihak yang memusuhi perjuangan politik Islam, apabila secara sengaja Islamofobia itu semacam dukungan gerakan Islam merencanakan ideologi politik kekerasan sebagai suatu cabang dalam ajaran agama Islam.
Islamofobia juga dilhat sebagai satu terma dan fenomena yang berpanjangan, dipopularkan oleh Francis Fukuyama dan Samuel Huntington yang menghujahkan tentang pertembungan peradaban antara Islam dan Barat. Oleh itu kuasa Barat seringkali menjadikan Islam sebagai mangsa untuk bertembung.
Akibatnya, negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Peranchis telah melakukan serangan psikologi ke atas umat Islam dan bukan Islam. Sebagai contoh, melarang pemakaian purdah kalangan wanita Islam sebagai langkah kononnya mengawal ancaman dan kemungkinan keganasan oleh puak Islam.
Islamofobia dan taktik Umno-BN
Atas asas yang sama, pihak Umno-BN turut menggunakan terma Barat, lalu menjadikan Islamofobia sebagai taktik untuk menyerang PAS semasa pilihan raya kecil Indera Kayangan, Perlis pada Disember 2001. Pihak Umno-BN secara jelek telah mengaitkan PAS sebagai parti pengganas telah berkawan dengan KeADILan dan DAP. Latar belakang serangan 11 September ke atas WTC di New York City itu telah dijadikan senario untuk mengatakan PAS yang dipimpin ulama’ sebagai parti pengganas. Maka, PAS telah menjadi mangsa pertama taktik politik Umno-BN yang telah memperalatkan Islam untuk memfobiakan orang bukan Islam terhadap PAS.
Lanjutan daripada itulah, maka kenyataan terbaru Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai negara Islam turut menyerlahkan sentimen Islamofobia yang bersarang di dalam pemikiran politik perkauman para pemimpin yang diasuh oleh Umno-BN.
MCA merencana taktik Umno
Secara totok, Chua telah berucap pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star (Malaysiakini, 8 Ogos 2010) ada memberikan tanggapan negatif, kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang.” Malah beliau turut membidas kononnya Umno dan PAS telah menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.
Kenyataan itu disusuli pula dengan analisis dangkal dalam menilai persaingan antara Umno dengan PAS yang dikatakan telah membawa kepada wujudnya dasar-dasar tidak progresif sehingga menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun. Maka, serangan Islamofobia Chua bukan sekadar terhadap PAS malah turut menghentam Umno yang telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu. Lalu Chua mencucuk jarum politik terhadap masyarakat Cina agar jangan terlalu optimistik dengan anggapan jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Tanpa asas rasional Chua menghujahkan ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.
Pada persepsi umumnya, Presiden MCA itu sedang menghadapi tekanan kemerosotan pengaruh politik kalangan masyarakat Cina. Beliau sudah tentu mencari sesuatu formula untuk meraih semula sokongan. Namun, pendekatannya itu agak kasar apabila Umno sebagai idola permuafakatan politik MCA selama ini turut dikasari dengan hujah-hujah berbau Islamofobia. Pendekatannya itu, tidak akan menjadi jelek jika ia semata-mata ditujukan kepada Islam dan PAS. Apakah MCA sudah dirundung malang di bawah kepimpinan baru sekarang? Apa yang jelas, MCA kini sudah mencalarkan nilai-nilai keharmonian yang sekian lama dirasai. Apakah ia tanda kegagalan pendekatan Umno dalam mengasuh rakan permuafakatan BN untuk menghormati beberapa nilai yang dikira sensitif untuk dikomen secara terbuka.
Islam agama persekutuan
Presiden MCA itu, tidak sepatutnya mengaitkan segala aspek buruk (seperti rasuah, miskin dan sebagainya) itu dengan Islam. Islam telah diterima secara harmoni oleh pelbagai kaum ketika merangka kemerdekaan negara. Malah telah lebih 1,400 tahun Islam telah dibuktikan penyelamat umat oleh Nabi Muhammad SAW.
Justeru itu, dalam perlembagaan negara kedudukan Islam dirakam dan disepakati di bawah Perkara 3, iaitu agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
Maksud tersebut diperjelaskan oleh arwah Prof. Dr. Ahmad Ibrahim bahawa Perkara 3 hendaklah difahami sebagai memberi kebebasan yang meluas untuk penganut-penganut agama lain mengamalkan agama mereja secara aman tanpa apa-apa gangguan. Jika perkataan ‘agama’ merangkumi bukan sahaja aspek kepercayaan dan amalan keagamaan tetapi termasuk juga undang-undang yang terpakai kepada penganut-penganut agama tersebut, maka makna yang sama juga sepatutnya diberi kepada ‘agama Islam’. Islam bukan sahaja satu kepercayaan keagamaan dan upacara agama, tetapi satu cara hidup yang merangkumi semua aspek termasuklah undang-undang. Di atas maksud tersebut, tidak sepatutnya wujud Islamofobia kalangan pemimpin MCA termasuk Datuk Seri Chua Soi Lek dan masyarakat Cina amnya.
Tangani dengan baik, bukan memfitnah
Lebih harmoni lagi, apabila pihak Yang Dipertuan Agung sendiri menyeru agar memberi perhatian dan menangani isu Isamofobia. Apa yang penting titah baginda semasa merasmikan Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang lalu (berlangsung 27 Julai hingga 4 Ogos 2010) baginda turut melahirkan rasa dukacita apabila umat Islam diancam dengan pelbagai serangan fizikal mahupun spiritual dalam dunia pasca moden ini.
Mengambi kira titah baginda itu, isu Islamofobia yang meracuni masyarakat dunia terutama di kalangan masyarakat Islam perlu ditangani dengan segera. Sekiranya umat Islam sedar keunikan, keindahan dan maksud keseluruhan al-Quran sebagai perlembagaan hidup, maka ajaran Islam bakal menjadi ikutan bukannya fobia berterusan.
Chua dipengaruhi Umno?
Sebaliknya, amat jelas Chua sengaja mengungkit suatu natijah Islamofobia dan bunyinya bercanggah dengan titah baginda itu. Kenapa jadi begitu, apakah Chua terpengaruh dengan sebahagian pemimpin Umno yang dilihat gagal mengilmukan pemimpin MCA itu dengan kebaikan Islam? Ataukah, sememangnya sebahagian pemimpin Umno itu telah lali dengan cara MCA dan sanggup membiarkan mereka terperangkap dengan salah faham terhadap Islam? Lalu terperosok dalam ugutan Islamofobia. Namun, kedua persoalan ini adalah bukti kegagalan Umno menjadi pemudahcara Islam kepada rakan-rakan permuafakatan dalam BN.
Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggapkan, “titah baginda itu betul-betul serupa dengan apa yang kita lalui di Kelantan dan apa yang PAS telah buat selama ini.”
Maksudnya, lebih 50 tahun PAS sudah bergelumang dengan pelbagai cabaran untuk membuka pekung masyarakat di negara ini kepada kebaikan Islam. Justeru perjuangan PAS sering disalahtafsirkan sehingga ada kalangan pemimpin Umno (yang mengaku berjuang Islam) tergamak memfobiakan masyarakat terhadap perjuangan Islam sehingga merendah-rendah hukum Allah SWT. Mungkin niat mereka untuk menyerang dan memburukkan PAS. Namun, dari segi agama ia tidak begitu. Akibatnya, terukirnya kalimah-kalimah negatif terhadap PAS yang dikaitkan dengan Islam seperti “hudud PAS, PAS bukan Islam-Islam bukan PAS, PAS-Parti Ajaran Sesat dan negara Islam alaPAS.”
Walau apapun, PAS sudah berjaya merungkai sebahagian isu-isu Islamofobia. Apa yang Chua sungutkan itu sudah tidak berlaku di Kelantan. Realiti Kelantan sudah membangun, kemiskinan rakyat sudah di paras terendah dan kemakmuran negeri dan rakyatnya sedang meningkat maju. Selayaknya, warga Kelantan terus bersyukur kerana setakat ini PAS terus utuh dan pemimpinnya terus cekal dan tegas menghayun pendayung, meskipun sering difobiakan dengan pelbagai cara.
Justeru itu tapak PAS di Kelantan sudah dibina kukuh sejak 20 tahun lampau, maka Islam kini sedang melalui pemartabatan. Oleh itu, “orang lain kena tiru kita (PAS dan kerajaan negeri) dalam menangkis Islamofobia,” tegas Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, Menteri Besar yang sudah mencipta jasa di persada politik dakwah dalam mengembalikan maruah Islam.
Penegasan Pakatan Rakyat
Dalam suatu kenyataan akhbar (Harakahdaily, 9 Ogos 2010) Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mentintakan seruan “Tinggalkan Umno” sebagai penegasan bahawa segala kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan adalah berpunca daripada salah laku Umno terhadap orang Melayu, sehingga berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri. Ia termasuklah tindakan diskriminasi jahat yang merampas royalti minyak pada masa pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan. Sedangkan Terengganu dan Kelantan adalah penduduknya lebih dari 95 peratus terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.
Apa pun, kenyataan Presiden PAS itu secara tidak langsung menzahirkan penilaian, betapa atas kepentingan persaingan politik Umno yang mengaku berjuang Islam telah sanggup menganiaya umat di negeri-negeri yang seagama dengannya. Maka, hal itu cukup menggerunkan masyarakat bukan Islam terhadap pucuk pimpinan Islam yang memiliki tampuk kuasa. Realiti itu sebenarnya telah diperbaiki di Kelantan dan sedang diubah oleh PAS bersama Pakatan Rakyat sekarang dalam rangka memartabatkan hak Islam, rakyat dan tanah air.
Sehubungan itu, Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggapkan komen Chua itu sebagai keterlaluan dan begitu jahil berhubung situasi sebenar masyarakat Islam. Atas asas itu, Anwar berkata Malaysia perlu diselamatkan bagi memastikan masyarakat Islam dan bukan Islam memahami dan menghormati agama dan budaya satu sama lain. Atas nada yang sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (Malaysiakini, 7 Ogos 2010) menganggap Chua sebagai mengarut dalam menggambarkan negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan mengamalkan rasuah. Bagi Lim, pihak Chua perlu mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi.
Jika demikian, penampilan kepimpinan nombor satu MCA sekarang, jelas parti MCA sudah menyanggahi hasrat dan keharmonian rakyat Malaysia yang bertersakan kepelbagaian kaum dan agama. Di sini, Presiden MCA telah menyimpang dari nilai-nilai kesepakatan Malaysia yang turut didukung oleh parti MCA sebelum ini. Sudah tentu rakyat akan mengadili salah laku itu dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Apa yang utama, rakyat selaku pengundi sewajarnya menilai penegasan Pakatan Rakyat dalam membina keyakinan baru politik negara yang mengutamakan kesepakatan antara pelbagai kaum dan agama.
Oleh:
Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan merangkap anggota Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.