|
Azrinaz Mazhar Hakim
|
KUALA LUMPUR 23 Julai – Bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar masih berada di salah sebuah istana di Brunei dan tidak dibenar meninggalkan negara itu sehingga tamat tempoh idah.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, selepas idah, Azrinaz berkemungkinan menetap di London atau Australia dan mungkin juga kembali ke tanah air.
‘‘Itu semua bergantung kepada kehendak beliau sendiri.
‘‘Di tanah air, keluarga Azrinaz kini menetap di Shah Alam dan bukannya di Bukit Antarabangsa, Ampang seperti dilaporkan,’’ katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar ini hari ini, menyiarkan artikel tentang spekulasi di mana Azrinaz berada sejak diceraikan Sultan Brunei, bulan lepas.
Ada yang menyatakan beliau kini menetap di istana hinggap Sultan Brunei di London dan tidak kurang desas-desus bahawa bekas personaliti TV3 itu sudah kembali ke tanah air dan menetap bersama keluarganya.
Menyentuh soal penjagaan anak, sumber itu memberitahu kedua-dua cahayamata pasangan itu akan dijaga sepenuhnya oleh pihak istana.
Sumber itu turut menafikan laporan sebelum ini yang menyatakan Azrinaz diberi pilihan untuk menjaga salah seorang daripada dua anaknya itu.
Tegas beliau, laporan yang menyatakan Azrinaz memilih untuk menjaga anak keduanya iaitu Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 2, adalah tidak benar sama sekali.
‘‘Sekiranya selepas tempoh idah iaitu sekitar September ini, Sultan Brunei tidak rujuk, Azrinaz bukan sahaja terpaksa meninggalkan istana malah tidak akan dapat hak penjagaan kedua-dua anaknya kerana mereka adalah waris Sultan Brunei,’’ katanya.
Dalam pada itu, pelbagai pihak lain seakan-akan ‘mengunci mulut’ daripada membicarakan mengenai bekas isteri kedua Sultan Brunei itu.
Cubaan Utusan Malaysia mendapatkan maklumat tentang di mana Azrinaz daripada Istana Nurul Iman dan Kedutaan Malaysia di Brunei tidak berjaya selepas kedua-duanya enggan memberikan sebarang respons.
‘‘Maaf, kami tidak tahu di mana beliau (Azrinaz) berada. Kami tidak dapat memberikan penjelasan lanjut kerana ini melibatkan tampuk pemerintahan,’’ kata salah seorang pegawai Istana Nurul Iman hari ini.
Sementara itu, pegawai Kedutaan Malaysia di negara tersebut juga memberikan alasan sama dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan.
Malah beberapa rakan karib Azrinaz juga enggan mengulas ke mana bekas rakan sekerja mereka itu menghilang.
“Tiada komen,” itu jawapan ringkas rata-rata mereka apabila ditanya berkenaan Azrinaz atau panggilan mesranya Naz.
Masing-masing mengakui kali terakhir mereka berhubungan adalah ketika wanita itu diceraikan sekitar bulan lalu.
Malah, ada yang memberitahu perkhidmatan telefon bimbitnya telah ditamatkan sejurus berita mengenai perceraian tersebut tersebar.
Sultan Brunei, 63, diijabkabulkan dengan Azrinaz, 31, pada 20 Ogos 2005 dalam satu majlis tertutup di ibu kota.
Pasangan itu bercerai talak satu pada bulan lepas.
Selain Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang putera, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 4.