Monday, July 19, 2010
Mat Taib Pulak Hilang
KUALA LUMPUR - Kegagalan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dari menghadiri aktiviti pergerakan itu, terutama bahagiannya terus menimbulkan tanda tanya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sebagai pemimpin yang pernah menjawat jawatan tertinggi parti dan pentadbiran Selangor dan Pusat, perlu memberikan contoh terbaik supaya boleh dicontohi orang lain.
Beliau mendakwa, tindakan Muhammad yang dilaporkan dua kali tidak menghadiri mesyuarat bahagian serta tidak pernah menghadiri mesyuarat perhubungan UMNO negeri yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak memperlihatkan kegagalannya menunjukkan komitmen terhadap kerja dan melaksanakan tanggungjawab.
"Beliau beri contoh terburuk sebagai seorang pemimpin yang begitu berpengalaman dan juga contoh terburuk dari segi kepimpinan apabila dilihat tidak mengambil peduli mengenai bahagian yang diketuai, sama ada untuk menghadiri mesyuarat atau menjalankan sebarang aktiviti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib yang juga Menteri Besar Selangor dari 1986 hingga 1997 dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah hampir setahun dari Mac 2008 hingga April 2009, adalah juga bekas Naib Presiden UMNO dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor serta bekas Ketua Penerangan UMNO, didakwa tidak aktif dalam politik sejak kalah dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, Mac tahun lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment