WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Thursday, July 22, 2010

Tengku Adnan: ‘Biarlah pemimpin PAS nak cakap apa-apa pun’

TAU TAK APE


KUALA LUMPUR, 22 Julai Setiausaha Agung Umno menyifatkan pemimpin PAS berhak untuk mengatakan apa sahaja kritikan terhadap parti Melayu terbesar itu berhubung polemik idea kerjasama perpaduan yang tercetus semula sejak dua minggu lalu.
“Biarlah pemimpin PAS nak cakap apa-apa pun, mereka ada hak,” kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ringkas.
“Saya tidak mahu komen pasal hal itu lagi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Yayasan Pendidikan Cheras dan Anugerah Guru Bestari 2010 di ibu negara malam tadi.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Isu kerjasama Umno-PAS muncul selepas pilihan raya umum 2008 dan diketengahkan beberapa kali sepanjang dua tahun lalu, dan yang terbaru awal bulan ini.
Tengku Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin PAS semalam yang mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdesak sehingga terpaksa menggunakan ulama dan mufti dalam isu syor kerjasama Umno-PAS, sekali gus mencetuskan persepsi negatif tentang PAS.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata tindakan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno menggunakan ulama dan mufti juga kelihatan mahu mengenakan tekanan ke atas PAS dalam isu kerjasama kedua-dua parti.
“Apabila PAS tolak Umno, ia akan memberikan gambaran negatif di kalangan masyarakat bahawa PAS tidak mahukan perpaduan.
“Jadi Najib sengaja menggunakan ulama dan mufti untuk menaikkan semula kredibiliti Umno selepas ia mula hilang kepercayaan di kalangan orang Melayu.
“Bagi saya ia hanya satu kaedah lapuk yang digunakan untuk menjatuhkan pihak pembangkang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga mendakwa Umno memang sudah tenat dan terdesak kerana sanggup menggunakan mufti Perak untuk berbohong mengatakan terdapat pimpinan PAS yang meminta beliau menguruskan perpaduan PAS-Umno.
“Saya mengajak rakyat Malaysia melihat akan tingkah laku Umno akhir-akhir ini.
“Rakyat Malaysia boleh melihat sendiri kelakuan Umno penghujung hayat mereka,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini sambil menambah institusi agama seperti pejabat mufti pun sanggup diperkudakan.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menjadi tumpuan dalam isu ini berkata Najib bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS demi untuk mempertahankan perpaduan Melayu dan Islam negara ini, dan mahu usaha itu disegerakan tanpa sebarang prasyarat.
Harussani berkata, keperluan itu dibangkitkan selepas Najib mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam.
“Perdana Menteri setuju tapi jangan letak syarat, beliau setuju supaya disegerakan soal perbincangan di antara Umno dan PAS.
“Beliau juga bersetuju supaya perbincangan itu perlu dibuat demi untuk mempertahankan perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini,” katanya.
Menurut Harussani, Perdana Menteri berharap PAS tidak akan berdolak-dalik dalam perkara ini.
Malah Najib mengatakan bahawa Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan.
Bagaimanapun, beliau berkata rundingan perpaduan itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.
Pemimpin-pemimpin Umno dan beberapa pertubuhan bukan Melayu menyambut baik idea ini tetapi PAS berpegang teguh dengan pendirian muktamar tahunan 2008 dan 2009 bahawa ia akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails