Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dalam pertemuan hari ini mendesak kerajaan Umno Barisan Nasional meminda beberapa peruntukan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memberikan kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri menentukan kelulusan penerbitan sesebuah akhbar.
Pengerusinya, Ahmad Lutfi Othman memberitahu, cabaran besar adalah menangani masalah permit dua lagi lidah rasmi Pakatan Rakyat iaitu Suara Keadilan dan Roket.
Katanya, satu pertemuan akan diatur dengan pihak KDN dan Suhakam bagi menyelesaikan masalah tersebut.
"Ini isu besar yang perlu diselesaikan segera. Kerajaan Umno BN semasa membuat pertimbangan pada masa itu tidak pernah memikirkan nasib kakitangan yang bekerja di akhbar berkenaan.
"Keputusan itu juga memberikan kesan kepada syarikat percetakan selain editor akhbar yang sering dipanggil dan diberi amaran olah KDN," ujarnya.
Sementara itu, aktivis Aiman Athirah Al- Jundi berkata, perjuangan kami akan bersifat objektif dan diplomasi dengan mengikut segala prosedur undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian dan mewujudkan situasi menang-menang di antara kerajaan dan media alternatif.
"KAMI akan bersifat objektif dan diplomatik dengan menggunakan lunas-lunas undang-undang dan prosedur demokrasi yang ada.
"KAMI sanggup berhadapan dengan kerajaan misalnya dan pihak penguasa untuk mencari jalan penyelesaian untuk win-win situation. Kesilapan yang berlaku kita perbetulkan, bukan nafikan terus," katanya.
Pertemuan pertama KAMI telah diadakan di rumah Lutfi dan dihadiri oleh beberapa pengarang akhbar Pakatan Rakyat.
Sebelum ini, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menegaskan sudah sampai masanya rakyat bangun menuntut agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang diguna pakai di negara ini dihapuskan kerana ia jelas mengongkong kebebasan bersuara.
Setiausaha KAMI, Tarmizi Mohd Jam pula berkata, pertemuan kedua itu berjaya mencapai beberapa keputusan bagi memulihkan kebebasan akhbar dalam negara yang diiktiraf sebagai demokrasi ini.
"Pertemuan kali ini mencapai beberapa keputusan yang mampu memberikan jalan keluar kepada KAMI khususnya dalam usaha untuk kita memastikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ini boleh untuk dipinda dan dimansuhkan untuk beberapa bahagian tertentu bagi membolehkan rakyat menikmati erti demokrasi yang sebenar dalam negara kita.
"Apa yang kita tidak mahu dan yang paling dominan dalam akta ini ialah penguasaan kuasa menteri secara eksklusif yang digunakan dan menjadi alat kepada pemerintah dalam mereka memastikan kekuasaan berada di serambi kuasa secara salah.
"Penyalahgunaan kuasa di kalangan menteri amat mudah dilakukan dalam akta ini yang mudah dimanipulasi bagi menyekat rakyat," katanya selepas selesai pertemuan berkenaan di pejabat editorial Harakah, Jalan Pahang, dekat sini.
Dalam Bahagian V Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan kaedah-kaedah, perkara 13A menyatakan bahawa apa-apa keputusan menteri untuk menolak daripada memberikan atau untuk membatalkan atau menggantung sesuatu lesen atau permit adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa jua alasan pun.
Bagi maksud seksyen ini "keputusan" termasuklah apa-apa perintah atau arahan yang dibuat oleh menteri di bawah akta ini.
KAMI juga, katanya akan turut membincangkan perkara ini dari sudut undang-undang dan juga mengenal pasti beberapa bahagian dalam akta ini yang jelas bercanggah dengan pengasingan kuasa dan demokrasi yang akan menyekat kebebasan rakyat.
Tambahnya, satu lagi pertemuan akan diadakan dengan wakil-wakil media yang lain serta pakar perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari dan pensyarah Pusat Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah bagi membincangkan perkara tersebut.
Menurutnya lagi, satu memorandum berhubung tuntutan itu akan disampaikan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam masa yang terdekat.
Pada masa yang sama, KAMI juga akan meggerakkan untuk menyampaikan maklumat dari masa ke semasa sehingga sampai ke matlamat akhir untuk melancarkan satu gerakan rakyat iaitu Gerakan Rakyat Mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Geram) agar akta berkenaan berjaya dimansuhkan.
No comments:
Post a Comment