Penulis Tamu - Zolkharnain Abidin
Ust Nakhaei orang alim. Beliau saya kenali semasa belajar di Pusat Islam sekitar tahun 1987. Saya mengaguminya dalam banyak hal. Buku-bukunya saya miliki dan saya baca, antaranya bukunya berkaitan seerah nabi.
Pada waktu itu beliau acap kali berserban ala syeikh al-Azhar, kupiah merah dan serban putih dililit selari tanpa ekor. Saya suka dengan cara itu. Pernah suatu ketika semasa masih belajar saya dan kawan-kawan turut meniru gaya berserban itu.
Kali terakhir saya menemuinya di sebuah kedai makan di Taman Melewar tiga atau empat tahun lalu. Dia dan isterinya Ustz Rusmiati Harun berpakaian sukan. Mungkin baru lepas berjalan kaki, bersenam, mengeluarkan peluh.
Saya menegurnya, kami bersalaman dan seperti biasa bersembang beberapa perkara. Macam biasa, beliau dan isterinya tidak mengenali saya walau pun saya mengenali mereka berdua.
Seorang tokoh seperti Ustz Nakhaei wajar kembali kepada lubuk asalnya PAS. Beliau wajar merenung kembali kehidupannya bersama PAS dan membandingkannya dengan kehidupannya bersama Umno. Mudah sahaja perbandingannya. Semasa bersama PAS dia kelihatan lebih ‘warak’ dengan ketayap, serban, jubah berbanding semasa bersama Umno dia kelihatan ‘bogel’ kepala dan selesa dengan tali leher dan kot.
Bukan tali leher dan kot itu salah. Itu bukan isunya. Isunya ialah penglibatannya dengan kelompok yang berbeza telah membentuk penampilan yang berbeza. Dan, tidak pelik juga penampilan yang berbeza itu turut melambangkan sikap dan fikrah yang berbeza.
Ust Nakhaei tidak perlu silau mata atau malu-malu untuk kembali kepada PAS. Beliau tidak perlu ‘tersipu-sipu’ untuk menerima TG Hj Abd Hadi sebagai ketuanya. Mungkin beliau dan TG Hj Hadi lebih kurang seimbang sahaja pencapaian ilmu mereka, tetapi itu bukan alasan untuk tidak dapat duduk bersama TG Hj Hadi dalam PAS.
Ust Nakhaei perlu memikirkan secara serius untuk kembali kepada PAS dalam keadaan parti yang dia bernaung di bawahnya kini, Umno semakin ditolak oleh umum. Sesuatu yang pelik untuk orang alim seperti Ust Nakhaei masih bersama Umno pada ketika orang lain yang tidak sealimnya pun meninggalkan parti itu.
Jangan pula Ust Nakhaei beralasan begini, “Disebabkan saya orang alimlah, maka saya bersama Umno. Disebabkan mereka kurang alimlah maka mereka bersama PAS.”
Ust Nakhaei perlu bersama dengan semua teman-temannya dahulu, anak-anak usrahnya dahulu juga rakan-rakan seperjuangannya dahulu di dalam PAS. Kawan-kawannya di dalam Umno bukan rakan-rakannya yang sebenar.
Mereka hanya rakannya ketika mereka memerlukannya, atau dengan kalimah yang lebih kasar boleh memperalatkannya. Adakah Ust Nakhaei pernah lupa bahawa dia pernah ditolak oleh perwakilan dalam suatu pemilihan yang disertainya, walau pun beliau adalah sebenarnya adalah tokoh berbanding saingannya yang lain?
Apa ertinya itu? Ertinya orang alim seperti Ust Nakhaei tidak dipandang di dalam Umno dari sudut ilmu. Dia hanya dipandang apabila dia boleh dipergunakan atau diperalatkan oleh mereka sahaja.
Kini, apa tempat untuk Ust Nakhaei di dalam Umno?
Saya yakin jika Ust Nakhaei terus bersama PAS, ilmunya, kebolehannya, keupayaannya, kecerdikannya akan terus dinilai dan dihargai. Sangat banyak saluran dan ruang di dalam PAS untuk beliau berkhidmat dengan secara berkesan kepada Islam.
Ust Nakhaei, pulanglah ke pangkuan PAS. Ust tidak rugi apa-apa. Umno pun tidak rugi apa-apa. Kami dan mereka yang pernah mengutip mutiara ilmu yang terpancar daripada ustaz akan terus menerima dan menyanjungi ustaz selayaknya.
Ya, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Dan, laut mana yang tidak bergelora. Teduh hujan, nyamanlah udara. Tenang laut, stabillah bahtera.