WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Friday, June 11, 2010

Peringatan Mursyidul Am patut direnung - Nasruddin



KOTA BHARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS Pusat menyambut baik peringatan yang dilontarkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pengkhianatan Umno/BN terhadap PAS sewaktu menyertai Kerajaan Perikatan.

Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, peringatan yang disampaikan Tok Guru pada majlis perasmian serentak tiga dewan sayap penting PAS itu, 9 Jun lalu, adalah satu 'guide line' kepada gerakan PAS hari ini.

"Ia satu ucapan yang sangat baik. Ia beri peringatan kepada kita tentang sejarah dan sirah kerana Nabi Muhammad s.a.w ada menyebut "jangan sampai kita ini orang beriman disengat dua kali dalam satu lubang"," katanya kepada sidang media selepas menyampaikan Ucaptama Muktamar Pemuda PAS ke-51 dekat sini 10 Jun lalu.

Turut serta dalam sidang media tersebut, Timbalannya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani; Naib Ketua, Ahmad Sabki Yusof; Setiausaha, Kamaruzzaman Mohamad dan beberapa EXCO Pemuda PAS Pusat.

Beliau juga menyatakan, apa yang diutarakan Tok Guru itu satu iktibar namun, ia bukan menandakan PAS perlu menutup ruang untuk berbincang atau intraksi dengan semua pihak. Cuma ujar Ustaz Nasrudin, apa yang diperingatkan Tok Guru itu ialah sejarah hitam pengalaman ketika bersama  Kerajaan Perikatan itu agar tidak ulang kembali.

Sebaliknya, hari ini Pakatan Rakyat telah diterima oleh rakyat dan diyakini oleh seluruh rakyat sebagai pengganti kepada kerajaan yang ada hari ini, katanya.

"Kalau Umno mahu terima dasar kita dia boleh bersama, bubar Umno dan BN yang mengamalkan satu dasar dan idelogi yang perkauman. Kita ajak mereka bersama dengan kami kerana kita sentiasa bergerak kehadapan," ujarnya.

Ujarnya, Pemuda PAS akan tetap bersama dengan gagasan Pakatan Rakyat yang menjadi aspirasi rakyat untuk membentuk kerajaan pada masa akan datang.

Terdahulu, dalam sidang media yang sama, beliau turut menjawab beberapa persoalan mengenai komitmen kerajaan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan premis judi berikutan isu lesen judi bola yang diluluskan oleh kerajaan Umno/BN.

Beliau berkata, negeri-negeri Pakatan Rakyat setakat ini memberikan komitmen untuk tidak memperbaharui, atau memberi lesen baru terhadap mana-mana premis judi di negeri masing-masing.

"Kita semua tahu, judi ini semua agama tolak, justeru kita yakin isu ini bukan isu umat Islam sahaja tetapi isu seluruh rakyat berbilang bangsa," katanya.

Beliau menafikan komitmen PAS dalam membantah judi ini akan menyurutkan sokongan bukan Islam terhadap PAS, sebaliknya ia sebagai satu kekuatan semua rakyat untuk menentangnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails