WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Saturday, July 3, 2010

Pilihan raya pada September?

Keputusan kerajaan secara tiba-tiba untuk meningkatkan peruntukan untuk kawasan-kawasan mencetuskan spekulasi bahawa pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.

Sarjana politik James Chin percaya bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin mengambil tindakan itu selepas mengumumkan prestasi ekonomi untuk suku tahun kedua.

"Ia pasti suatu masa sebelas Semptermbe kerana Najib perlu (dokongan) pertumbuhan yang kukuh daripada suku tahun kedua," kata James yang kini mengajar di sebuah universiti swasta.

"Kalau (pilihan raya diadakan) tahun depan, ketika itu Najib tidak boleh lagi mengawal ekonomi," katanya.

Beliau menambah, Najib bakal berdepan dengan bahaya kita berlakunya kemelesatan ekonomi global yang kedua.

Hishammuddin: 'Suara Perkasa' boleh digantung

Tindakan tegas termasuk menggantung penerbitanSuara Perkasa jika penerangan yang diberi berhubung artikel bertajuk "Tahan Ka Siong Bawah ISA" yang diberi editornya, didapati tidak memuaskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan fitnah dan polemik menyentuh isu perkauman dan agama.

"Kita selalu konsisten, kalau salah tetap salah tak kira dari surat khabar mana. Jangan kerana dalam kebebasan bersuara kita tabur fitnah dan polemik kaum dan agama, ini amat berbahaya," kataya kepada pemberita di Hulu Terengganu, hari ini.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu di Hulu Terengganu, hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap apa sahaja yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa KDN memberi layanan berbeza kepada 
Suara Keadilan dan Suara Perkasa.

"Tindakan kita jelas. Memang (editor) Suara Perkasa, bila kita minta datang, mereka datang tepat pada masanya. Masih tak puas hati (dengan menjelasan mereka) kita minta mereka datang hari Isnin ini.

"Tetapi 
Suara Keadilan angkuh dan susah nak beri keterangan, tetapi akhirnya mereka terpaksa juga berbuat begitu kerana itu undang-undang," katanya.

Menurut beliau, tindakan penggantungan permit seperti diambil terhadap 
Suara Keadilan turut dikenakan kepada akhbar-akhbar lain yang didapati melanggar syarat ditetapkan.

KDN sebelum ini memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan 
Suara Keadilanyang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi akhbar itu berhubung beberapa perkara.

Antaranya, pihak KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan editor akhbar berkenaan, Dzulkarnain Taib berhubung penyiaran artikel bertajuk 'Felda Bankrap'.

PKR berdepan risiko perpecahan

Pengagihan kuasa dalam pentadbiran dan politik di kalangan pimpinan PKR di Selangor dilihat oleh pemerhati politik bahawa parti itu akan berdepan dengan risiko perpecahan.

Kebimbangan mereka itu berikutan pelantikan Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi PKR Negeri kerana ia memperlihatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah hilang kredibilitinya sebagai seorang Menteri Besar yang sepatutnya mentadbir negeri dengan kuasa mutlak.

Pada 27 Jun lepas, Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak diumumkan sebagai Pengerusi PKR Selangor menggantikan Abdul Khalid berkuatkuasa serta merta oleh Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Shah Alam, Selangor.

Menurut pemerhati politik keputusan itu juga mengambarkan bahawa PKR cuba mengadakan pengasingan kuasa antara jawatan Menteri Besar dan Pengerusi PKR negeri dengan Mohamed Azmin diberikan kuasa politik manakala Abdul Khalid diberikan kuasa eksekutif.

Perkembangan itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Khalid yang juga ADUN bagi kawasan Ijok dilihat seperti "hilang taring" kerana beliau kini tidak lagi mempunyai kuasa atau pengaruh dalam politik di negeri itu.

Seorang pemerhati politik, Asri Salleh berkata pengasingan kuasa antara jawatan Pengerusi PKR Selangor dan Menteri Besar bakal mencetuskan konflik yang lebih besar khususnya di peringkat membuat keputusan dan ia dikhuatiri boleh boleh menyumbang kepada kejatuhan pakatan pembangkang di Selangor.

Perkembangan ini, katanya, seolah-olah wujud dua nakhoda mengemudi sebuah bahtera yang bakal menimbulkan masalah kerana kebiasaanya mereka yang memegang jawatan Pengerusi parti di peringkat negeri akan juga memegang jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri, kata Asri yang juga Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara
(UiTM) kampus Dungun, Terengganu itu kepada
Bernama, di Kuala Lumpur.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008 pula menunjukkan bahawa daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, 36 kerusi DUN adalah milik pembangkang dan daripada jumlah itu, PKR mempunyai 15 kerusi, DAP (13) dan PAS (8) sementara Barisan Nasional (BN) dengan 20 kerusi.

Pada masa ini, komposisi DUN Selangor menyaksikan BN menambah satu lagi kerusi menjadikan jumlah keseluruhan kepada 21 manakala PKR yang sebelum ini mempunyai 15 kerusi DUN, telah kehilangan satu kerusinya apabila ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengisytiharkan keluar parti dan menyertai BN pada 29 Okt tahun lepas.

Asri berkata pengasingan kuasa itu juga dilihat akan menambahkan lagi keretakan yang sedia ada dalam PKR Selangor.
Katanya, ekoran pelantikan tersebut, implikasi yang dapat dilihat bakal berlaku terhadap parti itu ialah penyokong parti PKR akan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang menyokong Menteri Besar dan kumpulan yang menyokong Naib Presiden PKR itu.

"Kita juga melihat kebergantungan rakan lain iaitu DAP dan PAS kepada PKR. Katakanlah jika berlaku perpecahan dalam PKR, ia akan memberi kesan yang buruk kepada pakatan pembangkang di Selangor yang mana akan mewujudkan senario lompat parti di kalangan Anggota Parlimen dan ADUN kerana krisis keyakinan kepada kepimpinan," katanya.

Bagaimanapun, selepas pengumuman itu dibuat, Abdul Khalid yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak menafikan bahawa tindakannya berundur daripada mengetuai PKR Selangor disebabkan tekanan daripada pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Sebaliknya, Menteri Besar itu berkata aktiviti pentadbiran negeri telah membataskan masanya untuk memberi tumpuan kepada usaha-usaha memantapkan parti itu dan turut mengakui kekurangan pengalamannya dalam politik memungkinkan jawatan tersebut diberikan kepada Mohamed Azmin.

Bagaimanapun, menurut Asri, dalam perspektif lain, pelantikan Mohamed Azmin sebagai Pengerusi PKR Selangor juga dilihat sebagai orang yang diberikan tanggungjawab untuk menyelesaikan segala keretakan dalam PKR Selangor.

"Pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini dilihat sebagai penyumbang kepada perpecahan di kalangan anggota-anggota Parlimen dan ADUN mereka sehingga ada antara mereka yang melompat parti. Makin lama Abdul Khalid duduk di atas, makin banyak anggota yang berpecah," katanyanya.

Beliau juga tidak menolak bahawa pelantikan tersebut juga boleh dilihat sebagai salah satu usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar tersebut.

Katanya, gerakan untuk menjatuhkan Abdul Khalid itu telah lama dilakukan, cumanya sekarang ia dilakukan dalam keadaan yang lebih terbuka.

"Ini adalah permulaan secara terang-terangan untuk menjatuhkan Abdul Khalid dan saya melihat sekarang ialah masa untuk direalisasikan agenda tersebut.

Sememangnya kumpulan untuk menjatuhkan Menteri Besar itu memang wujud. Cumanya dahulu ia dilakukan secara sembunyi-sembunyi dan sekarang ada pihak yang telah mula menonjolkan diri," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati politik Prof Madya Shaharuddin Badaruddin berkata pengasingan kuasa tersebut dilihat bakal mewujudkan satu risiko perbezaan pendapat yang ketara di antara Mohamed Azmin dan Abdul Khalid.

Beliau melihat pelantikan itu lebih kepada soal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Abdul Khalid dan ia akan mewujudkan perbezaan pendapat ketara di kalangan mereka dan sekiranya ia dapat mewujudkan kestabilan dan kebaikan, maka itu adalah baik, katanya kepada 
Bernama.

Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Shah Alam itu berkata percubaan PKR itu untuk mengasingkan kuasa di antara parti dan pentadbiran kerajaan negeri mungkin akan membuahkan hasil yang baik sekiranya perbezaan pandangan dapat diatasi.

Dalam pada itu, Shaharuddin tidak menafikan bahawa perlantikan Mohamed Azmin itu juga dilihat bersifat untuk mengawasi dan menegur kerajaan negeri di mana parti boleh menegur kerajaan untuk penambahbaikan implikasinya lebih buruk jika perbezaan pendapat di antara kerajaan dan parti tidak mencapai kata sepakat.

Ezam bidas laporan 'istana air mata'

Bekas ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Noor menggesa Malaysiakini dan The Star disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri berhubung laporan nasib yang menimpa buruh pembinaan istana baru di Kuala Lumpur.

"
Malaysiakini dan The Star patut disiasat kerana laporan itu disulam motif untuk merosakkan institusi diraja," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Saya telah ke tapak itu hari ini dan mengadakan sidang akhbar. Maklumat dalam laporan itu salah. Hanya empat atau lima buruh pembinaan yang lambat menerima gaji mereka.

"Laporan itu anti-Melayu dan anti-Istana. Laporan itu menggambarkan istana seolah-olah dibina daripada air mata rakyat jelata," katanya.

Dalam laporan ekslusif pada 27 Jun, 
The Starmenyiarkan di muka depannya sekumpulan pekerja asing yang membina Istana Negara bernilai RM800 juta didakwa tidak menerima gaji bagi tempoh tiga bulan.

Sementara itu, 
Malaysiakini semalam melaporkan, kumpulan 10 orang diketuai ahli parlimen Batu daripada PKR Tian Chua dilarang memasuki kawasan pembinaan itu, mencetuskan 'ketegangan' dengan penguatkuasa.

Ketika dihubungi 
Malaysiakini hari ini, Ezam menyatakan kekesalannya terhadap Malaysiakiniyang didakwanya selalu "mengutarakan isu yang anti-istana".

"Ini melampau. 
Malaysiakini telah cukup menyerang institusi (Melayu). Saya akan lawan (ketua pengarang) Steven Gan habis habisan-habisan," katanya.

Katanya, laporan berhubung isu peralihan kuasa di Perak, termasuk melibatkan bekas menteri besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan kes murtad adalah contoh serangan terhadap instsitusi Melayu.

'Tolak tahi' gamatkan protes antijudi

Dengan lafaz "salam reformasi", perhimpunan antijudi oleh lebih 1,000 orang di ibu negara Malam tadi dirasmikan oleh Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) Mohd Azmi Abdul Hamid.

"Selama 53 tahun cukuplah mereka menghancurkan negara. Kita tidak boleh terima ini lagi," katanya lagi dalam perhimpunan yang berlangsung selama hampir 45 minit itu.

Perhimpunan itu juga menunjukkan rakyat sudah tidak boleh menerima alasan yang diberikan oleh sesetengah pemimpin BN dalam menangani isu judi, katanya.

"Ada ulama mereka kata judi ini tidak ada kaitan dengan Islam. Orang ini sudah kenyang dengan judi.

"Seluruh rakyat telah nampak bencana. Yang menjalar dalam masyarakat bukannya kemungkaran kecil tapi oleh orang yang meraih keuntungan (daripada judi)," kata Mohd Azmi yang juga presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

Tambahnya, kempen anjuran GMJ akan diteruskan walaupun kerajaan telah menarik balik keputusannya untuk memberikan lesen pertaruhan judi sukan sebelum ini.
Perhimpunan bermula pada kira-kira jam 5 petang hari ini bertukar menjadi program perhimpunan bagi perasmian kempen berkenaan, bagi menggantikan satu protes yang dijadualkan sebelumnya bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan meluluskan lesen judi sukan.

Bagaimanapun, ekoran tindakan kerajaan membatalkannya, "perhimpunan 100,000 orang itu' bertukar format sebagai satu lagi majlis pelancaran bagi kempen baru GMJ bagi menolak semua jenis judi di negara ini.
Desak k'jaan didik rakyat

Sementara itu, ada juga slogan yang dilaungkan di dalam perhimpunan itu, antara lainnya "Tolak Tahi", mencetuskan kegamatan di kalangan orang ramai yang hadir.

Laungan itu diketuai setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia, Rahimi Abdul Rahim yang menyamakan golongan yang meluluskan lesen judi sebagai "tahi."
"Orang yang ketagih judi (dipanggil) tahi judi," katanya yang disambut dengan gelak ketawa.

Bercakap kepada media selepas itu, Mohd Azmi berkata kempen berkenaan akan diteruskan memandangkan kerajaan masih belum menunjukkan kesungguhan untuk mengharamkan kegiatan judi.

"Kita tidak boleh desak untuk mansuhkan serta merta jadi kita ambil pendekatan untuk desak kerajaan mendidik rakyat (tentang bahaya judi).
Mohd Azmi yang juga pengerusi GMJ berkata gabungan berkenaan yang didakwanya dianggotai 60 NGO itu akan memperkemaskan usaha untuk mempertingkatkan program kesedaran kepada masyarakat di negeri-negeri.

Turut berucap di majlis itu termasuk Ketua Pemuda PKR PKR Syamsul Iskandar Mat Akin, ketua pemuda PAS Nasrudin Hassan serta ketua penerangan parti Islam itu Suhaizan Kaiat.

Kira-kira 50 polis dilihat mengawal keadaan di sekitar kawasan tersebut yang berakhir tanpa sebarang insiden.

Selain itu, wakil daripada Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan juga Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut berucap di majlis berkenaan.

Peruntukan tambahan , adakah PRU ke 13 sudah sangat hampir ?

Kerajaan menyediakan pertambahan peruntukan RM500,000 untuk kawasan pilihan raya, tetapi menafikan ia menandakan akan berlaku pilihan raya mengejut, demikian seperti yang disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz hari ini.

Namun kenyataan nya bahawa tambahan peruntukan itu diberikan kerana kerajaan mempunyai lebihan dana amat saya ragui. bayangkan dalam keadaan banyak kementerian sedang menghadapi kekangan peruntukan yang susut kesan dari susutnya bajet 2010 tiba-tiba Nazri mengatakan kerajaan ada lebihan wang.

Berikutan terdapat 222 kawasan parlimen, maka peruntukan tambahan tersebut berjumlah RM111 juta. Peruntukan itu pastinya melibatkan kawasan Parlimen yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat yang dinafikan kuasa untuk menyalurkan sendiri peruntukan itu tetapi diagihkan oleh BN walaupun ternyata mereka telah ditolak oleh rakyat di kawasan itu.

Nazri juga telah menyangkal dakwaan bahawa tambahan peruntukan itu menandakan akan berlaku pilihan raya mengejut dan mengatakan peruntukan itu diberi setiap tahun.

Contonya peruntukan untuk pendidikan pada pelanjawan 2010 adalah berjumlah 30 billion, sedangkan peruntukan pada belanjawan 2009 iaitu 31 billion. Pengurangan 1 billion daripada 31 bilion, ialah hanya 3.2 peratus. namun realiti yang kita dengar dari warga pendidik banyak perkara yang kena potong sehiingga ada yang lebih 40 pratus.

Contohnya tuntutan perjalanan dikurangkan dari 70 sen sekilometer kepada cuma 20 sen sahaja. Had tuntutan sebulan tidak lebih dari RM 40 ringgit sahaja.

Itu sekadar contoh dari sekian banyak rungutan yang membuktikan kerajaan sudah betul-betul miskin . malah kita sudah percaya dengan kenyataan Idris Jala bahawa Malaysia akan bengkrap pada tahun 2019.

Kerana itu saya juga cenderung mengatakan bahawa peruntukan tambahan ini adalah peruntukan "ada udang disebalik batu" yang Nazri yang tahu sebabnya.

Ataupun benar bahawa PRU ke 13 sudah sangat hampir ?

Anak Luar Nikah: Islam Sebagai Penyelesaian

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) memandang berat titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa amat membimbangkan. 

DPPN Pk percaya kebimbangan titah Raja Dr Nazrin Shah tersebut berasas dengan fenomena krisis moral yang tinggi sebagai penyumbang kepada perkara ini. Bagi umat Islam, sudah tentu segala punca yang berlaku adalah kerana tidak melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berpandukan kepada tuntutan yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran. 
  
Bagi DPPN Pk, umat Islam perlu kembali kepada fitrah semulajadi sepertimana yang telah dituntut di dalam Al-Quran yang menjadi pedoman kepada seluruh umat Islam. Keperluan kesedaran terhadap kefahaman yang dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai penyelesaian terbaik bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga untuk yang bukan beragama Islam. 
  
Jesteru, DPPN Pk meminta semua pihak yang telah dipertanggungjawabkan agar menjadikan Al-Quran sebagai panduan yang terbaik kepada penyelesaian segala masalah masyarakat. Kaedah dan pendekatan yang terbaik sebagai jalan keluar semua masalah yang ada perlu di titik beratkan. 
  
  
ZAWAWI HASSAN 
Ketua, 
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak. 

PKR: Orang Asli bukan lagi 'fixed deposit' BN




Masyarakat Orang Asli kini mempunyai lebih banyak kesedaran politik dan tidak lagi boleh dianggap sebagai pengundi setia kepada BN, kata timbalan pengerusi biro Orang Asal PKR Pahang, Bob Manolan.

Trend baru ini dikesan daripada perasaan tidak puas hati daripada golongan masyarakat itu, rentetan daripada cadangan kerajaan untuk meminda Akta Orang Asli (Akta 134), kata Bob.

"Melihat kepada senario semasa, memang Orang Asli ini masih (merupakan) fixed deposit kepada BN. Tapi senario ini sudah berubah di beberapa tempat.

"Contohnya di Pahang, kita ada biro hal ehwal Orang Asli (PKR),yang memang aktif di kalangan Orang Asli untuk menyedarkan kuasa politik mereka.

"Mungkin di pilihan raya umum ke-13 nanti akan ada peningkatan lebih mendadak (sokongan kepada Pakatan Rakyat) disebabkan senario semasa macam (dasar) pemberilikan tanah ini," kata Bob.

Bob menjelaskan, PKR melihat peluang berkenaan boleh diraih dalam keadaan semasa di mana kumpulan NGO mewakili masyarakat itu memfokuskan kepada isu-isu spesifik dalam masyarakat berkenaan.

"Kecenderungan politik mereka kurang (menyerlah) kerana NGO seperti (Persatuan Siswazah Orang Asli) PSOA lebih kepada isu pendidikan, (Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia) kepada kebajikan dan (Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia) kepada tanah dan perpaduan antara perkampungan Orang Asli," katanya lagi.

Setakat ini, POASM merupakan badan paling besar yang mewakili Orang Asli. Persatuan ini ditubuhkan sejak tahun 1976 dan kini mempunyai sebanyak kira-kira 26,000 ahli.

Seorang ahli majlis tertinggi POASM Yusri Ahon berkata cawangan-cawangan parti PKR kini giat ditubuhkan di perkampungan Orang Asli.

"Contohya di negeri pahang, kita lihat pada masa sekarang ini, tumbuh macam cendawan ranting-ranting PKR di kampung kampung masyarakat Orang Asli.

"Hampir setiap bulan mereka menubuhkan ranting, sebab mereka sedar jalan penyelesain yang paling akhir hanya dengan berpolitik," katanya.

Perjanjian Air: Apa yang Umno takut sangat?



oleh Anak Sengat

Umno masih tercungap-cungap cuba merahsiakan perjanjian bekalan air walaupun mahkamah telah mengarahkan agar isi perjanjian itu didedahkan kepada umum.

Apalah sangat ditakutkan oleh Umno berhubung perjanjian tersebut? Apakah ada rahsia yang boleh mengancam keselamatan negara dengan pendedahan tersebut.

Sebodoh manapun rakyat, selagi ia jujur pasti rase pelik dengan isu ini. Mengapa kerajaan Umno terlalu takut dengan arahan mahkamah dan kehendak rakyat ini?

Apakah selama ini benar kebimbangan rakyat bahawa akta OSA adalah akta melindungi penyelewengan Umno?

Apa yang hendak ditakutkan oleh kerajaan Umno jika segalanya telus. Umno yang selama ini mendakwa sebagai sebuah kerajaan yang telus sewajarnya menerima arahan mahkamah dengan hati yang terbuka.

Ulasan hakim yang mengendalikan kes ini sangat wajar direnungi terhadap maksud keputusan yang dibuat:

"Saya dalam dilema semasa membenarkan penangguhan kerana saya berpendapat perlu ada ketelusan dalam perjanjian kerana air adalah hak asas,” katanya.

Diharapkan agar keputusan ini dapat dikekalkan agar rakyat mengetahui apa yang ditakutkan sangat oleh kerajaan terhadap isi perjanjian tersebut.

Paling kurang sewajarnya kerajaan menjelaskan ruang yang boleh membahayakan kerajaan jika isi perjanjian tersebut didedahka
n.

Petronas tak perlu bayar RM30b dividen setahun



 Petroleum Nasional Berhad (Petronas) sepatutnya tidak kekal membayar RM30 bilion setahun kepada kerajaan Pusat sebagaimana pada paras tahun lepas, kata Ahli Parlimen Selangor, Dr. Dzulkifly Ahmad.

Menurut beliau, jumlah pembayaran dividen pada kerajaan sewajarnya berdasarkan keuntungan bersih yang diperolehi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

“Tidak wajar untuk Petronas dipaksa membayar pada kerajaan kekal tinggi RM30 bilion, sepatutnya dividen ini dibayar oleh Petronas kepada pemegang saham, iaitu kerajaan berkadaran dengan keuntungan.”

Ini kerana, beliau berkata, keuntungan Petronas merosot 23.2 peratus daripada RM52.5 bilion menjadi RM40.3 bilion.

Kemerosotan itu, katanya lagi, disebabkan kemerosotan permintaan minyak dunia bagi tahun kedua berturut-turut kepada 84.4 juta tong sehari.

“Purata harga aras minyak mentah di West Texas Intermediate turun 20 peratus pada USD70.59, manakala harga minyak mentah Malaysia pun turut turun pada USD72.69,” ujar beliau memetik perangkaan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Datuk Samsul Azhar Abbas, semalam.

Impaknya, beliau berkata, perolehan Petronas menurun 18.1 peratus daripada RM264.2 bilion menjadi 216.4 bilion sahaja.

Manakala, katanya, keuntungan pra cukai Petronas pula merosot 24.5 peratus pada RM67.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2010.

Bagi beliau, tindakan kerajaan dengan tidak melihat realiti cabaran yang dihadapi oleh Petronas itu disebabkan kerajaan terlalu bergantung pada hasil bahan mentah itu sebagai Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) negara; iaitu kira-kira 44.6 peratus atau RM67.8 bilion.

Ditambah dengan belanjawan defisit yang masuk tahun tiga belas berturut-turut, beliau berkata, perbelanjaan kerajaan pasti kian melebar sekiranya tidak memaksa Petronas kekal membayar dividen pada kadar sebelum ini.

“Kalau Petronas tidak diminta membayar sebegini, tentunya defisit perbelanjaan oleh kerajaan kian melebar dari congakan yang sedia ada, iaitu 7.4 peratus dengan hasil Petronas atau 15.1 peratus tanpa hasil petronas mengikut KDNK 2009),” ujar beliau ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi.

Disebabkan itu, beliau merumuskan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan I seakan tidak mempunyai formula ajaib untuk memacu ekonomi berprestasi tinggi sebagaimana yang diselokakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) belakangan ini.

Disebabkan tidak ada formula ajaib, beliau berkata, Najib mungkin terpaksa merancang untuk meluluskan lesen judi sukan bola kepada Kumpulan Berjaya, memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta mengurangkan peruntukan dalam sektor pendidikan dan sebagainya.

“Namun, Najib nampak terumbang-ambing (flip-flop) dengan menangguhkan kesemua formula ini,” ujar beliau.

Thursday, July 1, 2010

Sejarah Pembinaan Kaabah




Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s pergi ke Mekah untuk membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail as :
"Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku satu perkara" Lalu Nabi Ismail a.s berkata: "Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu" Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di Mekah, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya."

Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawa sebuah batu dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau berdiri di atas batu tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman Allah Yang bermaksud:
"Wahai Tuhan kami! Terimalah amal kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang yang berserah diri kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat yang berserah diri kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka isi kandungan al-Quran serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan hati dan jiwa mereka dari perbuatan syirik dan maksiat. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Sehinggalah Allah SWT menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua. Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah dengan keadaan :
  1. Tinggi Kaabah sembilan hasta.
  2. Panjang dari paras bumi atau dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam adalah sepanjang 32 hasta.
  3. Lebar Kaabah dari bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat adalah seluas 22 hasta.
  4. Panjang dari paras bumi bermula sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman adalah sepanjang 31 hasta.
  5. Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad adalah seluas 20 hasta.
  6. Nabi Ibrahim telah membina pintu Kaabah rapat ke bumi dan tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba' Al-Humairi telah membina sebuah pintu dan meninggikannya.
  7. Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s adalah satu binaan sempurna yang mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani manakala bentuk Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru bahkan dalam bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada masa sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun.

Kesian kat Zahrain.... dah tak ada isu dah...

Wakil Rakyat sepatutnya menimbulkan cadangan yang bernas mengenai dasar negara dan berani mengkritik keputusan Kerajaan . Itulah tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh saorang Yang Berhormat. Lebih lebih lagi kalau kita itu Wakil rakyat “Bebas” yang begitu di gemari oleh PM Najib Tun Razak. Kenalah jaga standard supaya orang tak mengatakan kita ini budak suruhan semata mata, dan tidak ada modal bernas untuk diketengahkan dalam Dewan.

Jadi saya hairan mengapa pertemuan saya dengan Raja Petra di Manchester tahun lalu menjadi isu kepada YB Bayan Baru ini. Dia sudah semacam menjadi wakil special Branch bangga dengan pendedahannya yang saya duduk di Hotel Britannia bersama dengan Raja Petra di Manchester tahun lalu. Dia kata MACC kena siasat petemuan ini. Inilah kerja Wakil Rakyat pro BN kita hari ini. Tak ada perkara lain nak ditimbulkan. Kalau dia tanya saya, saya akan beritahu lebih dari itu. Jumpa Raja Petra tidak salah wahai YB. YB pun boleh kerumahnya di Manchester.

Raja Petra dan isterinya Marina kawan saya . Saya tak tinggalkan kawan semata mata kawan ada dalam kesusahan. Jadi setiap kali saya ke London, saya jumpa mereka. Tahun lepas saya bawa Petra tengok bolasepak di Old Trattford; dia minat kepada Manchester United. Jadi saya belanjalah dia. Itulah sedikit hiburan baginya yang terpaksa meninggalkan tanah air kerana menuntut kebenaran. Perjuagan seperti Petra mungkin YB Bayan Baru kita itu tak mengerti atau faham.

Memang dia booking Hotel itu untuk saya, tapi tak benar dia tinggal disitu kerana rumah mereka hanya 15 min dari situ. Hotel yang saya menginap itu pun 3 star , tak lah saperti hotel Zahrain guna semasa ke Washington. Maklumlah saya bayar sendiri. Minggu depan saya akan ka London dan inshaaallah akan bertemu Marina dan Petra. Saya akan bekalkan butir lanjut jika YB Zahrain atau MACC mahu maklumat lain. Saya harap dapat juga bertemu Bala kalau MACC tidak mahu bertemu dengannya.

Brahim Ali!! Hang jangan berlagakla...

 Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mengingatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya tidak terlalu berlagak dengan kewujudan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan sokongan ahli yang diberikan sehingga sanggup menghentam sesama sendiri tanpa fakta yang jelas.
Ketuanya, Anuar Safian (gambar) berkata, beliau percaya bahawa Ibrahim mewujudkan Perkasa semata-mata kerana ingin menjadi ikon nasional dan menentukan kemenangan beliau di Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya yang akan datang.
Katanya, sekarang dari segi realitinya Ibrahim sudah tidak lagi mendapat tempat di hati Pas malah UMNO juga belum tentu sekiranya beliau mengambil sikap yang sedemikian.
“Malahan dengan tindakan beliau yang memutar belitkan isu di sebalik kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong seolah-olah beliau sudah menjadi jaguh orang Melayu dalam negara ini.
“Ibrahim harus sedar bahawa selaku orang lama dalam politik, beliau tidak sepatutnya mencari isu murahan seperti itu untuk menjadi jaguh sebaliknya perlu melihat kepada sensitiviti dasar yang hendak dilaksanakan oleh Perdana Menteri dengan konsep 1Malaysia yang hendak digagaskan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Beliau berkata, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah memberikan penjelasan terhadap isu tersebut malah Wee sendiri telah pun memberi penjelasan kepada Pengerusi Pemuda Barisan Nasional berkenaan hal tersebut.
“Jadi ianya tak perlu lagi dibesar-besarkan. Pemuda negeri bukanlah hendak mencampuri urusan perbalahan pendapat antara beliau dengan Khairy tetapi harus diingat bahawa majoriti pemuda seluruh negara adalah bersama-sama dengan Khairy dalam hal ini.
“Bagi Pemuda UMNO Kelantan kenyataan Khairy mengatakan bahawa Ibrahim adalah Gedebe Politik tepat memandangkan beliau sebagai ahli politik bermacam warna yang cuba mewujudkan satu blok minoriti bebas dalam parlimen,” katanya.
Menurutnya, sekiranya Ibrahim ingin bersama-sama UMNO dalam memperjuangkan hak dan kedudukan orang Melayu ianya harus bersederhana dalam kedudukan kita sebagai sebuah negara majmuk dan terbukti berjaya seperti mana yang diamalkan sebelum ini.
“UMNO sudah perjuangkan hak orang Melayu lebih 64 tahun, masakan Perkasa yang baru setahun jagung hendak mempertikaikannya,” katanya.
Kelmarin, Khairy menyifatkan Ibrahim sebagai ‘gedebe politik’ (samseng politik). Beliau sebelum ini menyifatkan Ibrahim sebagai penghalang konsep 1Malaysia.
Beliau turut dilaporkan berkata, gelaran terhadap Ibrahim itu memang tepat berdasarkan tindak-tanduk Ahli Parlimen Pasir Mas itu selama ini.
Justeru beliau tidak akan meminta maaf ataupun menarik balik kenyataan yang dilemparkan terhadap Presiden Perkasa itu sejak beberapa hari lalu.- Sinar Harian


Ahli-ahli Perkasa yang yang kelihatan perkasa bila mentekedarah (2 yang depan tu)

Edisi sulung Suara Perkasa garang, gesa Ka Siong ditahan ISA
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Edisi sulung Suara Perkasa, akhbar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), akan muncul “garang” esok dengan tajuk “Tahan Ka Siong di bawah ISA” – laporan yang merujuk kepada Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong yang menjadi sasaran kecaman NGO itu minggu lalu.
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sebelum ini memanggil Wee “biadap” dan menuduh beliau mempersoalkan kontrak sosial, yang menyebabkan pertengkaran antara dua pemimpin berkenaan.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga terlibat dalam pertengkaran itu dengan melabelkan Ibrahim “gedebe politik”, pertikaman lidah yang berpanjangan dengan Ibrahim mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana mempertahankan Wee.
“Perkasa mahu kerajaan menahan Wee Ka Siong di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),” kata Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar ketika memperkenalkan edisi sulung “Suara Perkasa” kepada wartawan hari ini.
“Wee Ka Siong tidak boleh kata Mara (biasiswa) perlu dikurangkan... beliau menentang Perlembagaan Persekutuan,” kata Naib Presiden Perkasa, Dr Zubir Harun hari ini.
Wee sebelum ini dilaporkan meminta supaya program biasiswa Mara kepada pelajar Bumiputera perlu dimasuhkan bersama dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Jika kerajaan hanya mahu memansuhkan biasiswa (JPA) tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ini tidak selari dengan konsep 1Malaysia yang dipromosikan kerajaan,” katanya.
“Wee membuat kenyataan itu sebagai respons kepada keputusan kerajaan yang mahu memansuhkan sebanyak 1,500 biasiswa JPA. Timbalan Menteri Pelajaran itu terlepas daripada tuduhan kerana mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu.
“Isu biasiswa mempunyai kaitan dengan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera,” kata Abdul Rahman dalam artikel itu.
“Oleh itu, ia menyentuh Artikel 153 Perlembagaan Negara, yang mana Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab dalam hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera termasuk biasiswa,” kata beliau.
Wee harus ditahan di bawah ISA kerana boleh menimbulkan perbahalahan sama seperti peristiwa 13 Mei, jelas Zubir.
Wee merupakan antara pemimpin terbaru menjadi sasaran kecaman Perkasa, NGO yang ditubuhkan akhir 2008 susulan landskap politik negara selepas tsunami politik Mac 2008.
Kira-kira 100,000 ahli NGO Islam mahu Wee memohon maaf kerana mempertikaikan biasiswa Mara.
Bagi memastikan beliau bertindak demikian, Perkasa akan memastikan bahawa pengundi Melayu tidak memberikan sokongan kepada Ketua Pemuda MCA itu dalam pilihan raya umum akan datang, tambah Abdul Rahman.
Apabila ditanya jika ada sesiapa yang mempersoalkan Artikel 153 perlu ditahan di bawah ISA, Abdul Rahman dan beberapa pemimpin Perkasa lain menegaskan, “ya”.
“MCA seharusnya tidak hanya menjadi jaguh bagi orang Cina tetapi juga 1 Malaysia,” kata Zubir.
“Wee Ka Siong tidak mempertahankan (Artikel) 153, jadi beliau menentang konsep 1 Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak... jadi beliau perlu dipecat daripada Kabinet,” tambah naib presiden Perkasa itu.
Kira-kira 25,000 naskhah akan diedarkan di seluruh negara esok.
“Kita akan bermula dengan dwibulanan (isu), kemudian dengan kebenaran KDN (Kementerian Dalam Negeri), kita harap ia boleh dipasarkan seminggu sekali,” kata Zubir.
“Akhbar ini adalah suara Perkasa dan akan menyiarkan tentang masalah orang Melayu... berkaitan dengan hak keistimewaan orang Melayu,” tambahnya.
Dijual dengan harga RM2 senaskah, akhbar itu dibiayai Media Perkasa Sdn Bhd dan modal permulaan berjumlah RM500,000.- The Malaysian Insider

Jadi Penceramah Buruan Selepas diGelar Ulama Muda Umno

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Baru minggu lepas, Ustaz Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 tahun, digelar salah seorang dari 40 ulama muda yang menyertai Umno. Kini, Mohd Hosni (gambar) adalah antara penceramah yang top di dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Hampir setiap malam beliau mendapat undangan untuk memberikan ceramah di seluruh negara.


Malam tadi beliau bersama dengan Haji Mohamad Sabu berceramah... dan malam ini beliau akan ke Klang pula. Esok dan lusa beliau akan ke Johor dan Melaka untuk memberikan ceramah.

Semuanya kerana gelaran ulama muda yang diberikan oleh Umno kepada beliau dan 39 yang lain.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Mohd Hosni ketika datang berkunjung ke pejabat Harakahdaily.

Mohd Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albyt, Jordan adalah antara mereka yang bersama dalam majlis menyerahkan borang menyertai Umno oleh 40 ulama muda kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada salah seorang rakan mereka kononnya Perdana Menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

"Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan Perdana Menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Intergrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan di bawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan di bawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya berdasarkan pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni lagi. Namun tidak lama kemudian, kesemua mereka disuruh berbaris kerana PM sudah mahu sampai.

Lalu mereka berbaris menyambut ketibaan PM dengan dihujani oleh lampu flash juru gambar yang memenuhi majlis itu.

Selepas itu, Datuk Seri Shahidan menyerahkan satu sampul surat kepada PM dan memberitahu itu adalah borang-borang permohonan menyertai Umno dari 40 ulama muda yang ada dalam majlis itu. 

Najib tanpa bercakap apa-apa terus meninggalkan majlis selepas itu dan Shahidanlah yang mengendalikan sidang akhbar selepas itu.

Mulai dari situ, barulah Mohd Hosni dan tiga rakannya lagi sedar bahawa mereka telah tersalah tempat dan terpedaya kerana bukanlah hajat mereka mahu menyertai Umno.

Namun, kesan dari situ, Mohd Hosni kini menjadi buruan majlis-majlis ceramah Pakatan Rakyat khasnya majlis ceramah PAS.

Nama beliau dan isu ulama muda menyertai Umno menjadi pelaris kepada majlis ceramah PAS kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di majlis itu. 

Isu Wahabi
Bagi rakan kepada Mohd Hosni yang turut ke pejabat Harakahdaily, Mohd Khairul Hafis Salihin, 27 tahun, (gambar) beliau seakan bersetuju dengan satu analisis yang dibuat oleh satu laman web berkaitan motif sebenar mereka yang menyertai Umno ini.

"Bagi saya mereka hendak menyertai Umno tidak salah walaupun saya nampak ia ada kepentingan sendiri tetapi memperdaya dan menyalahgunakan orang satu yang tidak baik," kata Mohd Khairul.

Bagi beliau, teori golongan Wahabi di negara ini mahu menyertai Umno untuk mengelakkan tekanan ke atas mereka ada kebenarannya.

"Saya kenal Fathul Bari, anak kepada Ustaz Mat Jahaya ini pada tahun 2002 lagi ketika saya menyertai satu kursus bahasa Arab di Bagan Lalang yang dianjurkan oleh kerajaan Arab Saudi dengan kerjasama pelajar dari Madinah ini. Fathul ini salah seorang pengajarnya kerana ketika itu dia sedang pulang bercuti," kata Mohd Khairul.

Menurut Khairul, dia datang lambat untuk mendaftar kursus itu dan ketika itu peserta dan jurulatih sedang sembahyang subuh berjamaah.

Oleh kerana lewat, beliau hanya mengikut mereka sembahyang separuh sahaja dan menyambung dengan rakaat kedua dan membaca qunut.

"Selepas sembahyang, Fathul Bari ini telah 'tashkil' (syarah) saya hampir setengah jam soal baca qunut ini bidaah," cerita Mohd Khairul.

Sejak itulah beliau kenal Fathul sebagai pembawa ajaran Wahabi ke negara ini. Antara cirinya adalah, kumpulan ini berpendapat, bacaan doa qunut dalam solat subuh, talqin dan tahlil itu bidaah dan salah.

Isu ini hanya soal cabang sahaja di dalam Islam tetapi kebanyakan jabatan agama (kecuali Perlis) menganggap ia boleh memecahkan umat Islam dan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

"Sebab itu saya tidak terkejut beliau ditahan oleh jabatan agama di Negeri Sembilan dan tidak dibenarkan mengajar di Selangor kerana isu ini," kata beliau.

Jadi, beliau mengesyaki, agenda mereka menyertai Umno adalah untuk mengelakkan tindakan di ambil ke atas mereka atau sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan jabatan-jabatan agama kepada mereka.

Ulama muda nafi tidak dijemput

SHAH ALAM: Empat sahabat berpendidikan tinggi agama nafi menyertai Umno Jumaat lepas seperti dihebohkan media arus perdana sebaliknya mereka dijemput hadir kerana dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.


Seorang daripada mereka, Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, dari Sungai Buloh berkata demikian ketika berucap menafikan perkara itu di majlis Pentas Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini, 27 Jun lalu.
Majlis tersebut turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Suhaizan Kayat, Ketua DAPSY, Anthony Look dan Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.
“Kami dibawa masuk melalui bangunan Legend Hotel sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing, turun tangga tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, lalu diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.
“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap.
Hosni merupakan seorang Al-Hafiz menamatkan pengajiannya di Markaz Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Selangor di Jugra pada 2003 dengan mendapat diploma dalam bidang itu.
Bermula 2004, beliau belajar di Universiti Al-Albayt, Mafraq, Jordan dan 2009 mendapat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul di Kuliah Syariah dan kini bersedia menyambung pengajian MAnya di sebuah universiti tempatan.
Anak ke tiga daripada empat beradik ini kesal dengan kejadian yang berlaku kerana masyarakat memandang serong dengan paparan media yang secara langsung menjatuhkan reputasinya sebagai pewaris ilmu.
“Saya dan tiga lagi sahabat lepasan Jordan, Mohd Fakhruzzaman, 37, dari Shah Alam, Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani) menafikan kami berbuat demikian sebaliknya Umno yang menipu,” tegasnya.
Mengulas kejadian itu, Ustaz Idris berkata, jika ulama pun Umno tipu, apatah lagi rakyat biasa dan berkata PAS tidak gentar dengan penyertaan seberapa ramai ulama kerana rakyat lebih tahu sama ada PAS baik atau Umno sudah gelisah.
Sementara itu, susulan respon Umno menafikan empat mereka tidak dijemput hadiri majlis 40 ulama muda menyertai parti itu sebaliknya hanya dijemput oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai amat melucukan.
Menurut Hosni, satu malam sebelum itu, seorang orang kuat Umno telah memujuk beliau untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri majlis tersebut dan kebetulan merupakan bapa kepada kawan rapatnya, beliau tidak dapat menolak jemputan itu.
“Logiknya bagaimana kami boleh hadir jika tidak mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga ditipu, dari bangunan sebelah Mall, naik escalator, turun tangga, tiba-tiba muncul di Bangunan Umno.
“Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis itu kerana dijemput majlis diskusi sebaliknya yang berlaku adalah penyerahan borang sertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.
Katanya, seorang lagi di Perlis, Ustaz Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.
“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.
Menjawab hasrat mereka untuk membuat laporan polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh portal Harakahdaily, dua hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung tidak menyebut nama orang berkenaan.

Wednesday, June 30, 2010

Pendedahan penipuan UMNO berkaitan kemasukan 40 Ulama

MEMO MEDIA

Kepada :-Semua Editor, Blogger dan Wartawan,
Media Massa & Media Baru.


Saudara / saudari,
SIDANG MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT - PENDEDAHAN PENIPUAN UMNO BERKAITAN KEMASUKAN 40 ULAMA
Adalah dimaklumkan bahawa Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan sidang media tersebut seperti berikut :- 
Tarikh  : 30 Jun 2010 ( Rabu )
Masa    : 4.30 Petang
Tempat : Lobi Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur


Sidang media akan diketuai oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Nasruddin Hassan At-Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.


Semua wartawan dijemput hadir untuk membuat liputan.


Sekian, Terima kasih.


Yang Menjalankan Tugas

Fadhil Osman
Pegawai Media
Dewan PEMUDA PAS Pusat
017-333 9668

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails