WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Saturday, July 3, 2010

PKR: Orang Asli bukan lagi 'fixed deposit' BN




Masyarakat Orang Asli kini mempunyai lebih banyak kesedaran politik dan tidak lagi boleh dianggap sebagai pengundi setia kepada BN, kata timbalan pengerusi biro Orang Asal PKR Pahang, Bob Manolan.

Trend baru ini dikesan daripada perasaan tidak puas hati daripada golongan masyarakat itu, rentetan daripada cadangan kerajaan untuk meminda Akta Orang Asli (Akta 134), kata Bob.

"Melihat kepada senario semasa, memang Orang Asli ini masih (merupakan) fixed deposit kepada BN. Tapi senario ini sudah berubah di beberapa tempat.

"Contohnya di Pahang, kita ada biro hal ehwal Orang Asli (PKR),yang memang aktif di kalangan Orang Asli untuk menyedarkan kuasa politik mereka.

"Mungkin di pilihan raya umum ke-13 nanti akan ada peningkatan lebih mendadak (sokongan kepada Pakatan Rakyat) disebabkan senario semasa macam (dasar) pemberilikan tanah ini," kata Bob.

Bob menjelaskan, PKR melihat peluang berkenaan boleh diraih dalam keadaan semasa di mana kumpulan NGO mewakili masyarakat itu memfokuskan kepada isu-isu spesifik dalam masyarakat berkenaan.

"Kecenderungan politik mereka kurang (menyerlah) kerana NGO seperti (Persatuan Siswazah Orang Asli) PSOA lebih kepada isu pendidikan, (Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia) kepada kebajikan dan (Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia) kepada tanah dan perpaduan antara perkampungan Orang Asli," katanya lagi.

Setakat ini, POASM merupakan badan paling besar yang mewakili Orang Asli. Persatuan ini ditubuhkan sejak tahun 1976 dan kini mempunyai sebanyak kira-kira 26,000 ahli.

Seorang ahli majlis tertinggi POASM Yusri Ahon berkata cawangan-cawangan parti PKR kini giat ditubuhkan di perkampungan Orang Asli.

"Contohya di negeri pahang, kita lihat pada masa sekarang ini, tumbuh macam cendawan ranting-ranting PKR di kampung kampung masyarakat Orang Asli.

"Hampir setiap bulan mereka menubuhkan ranting, sebab mereka sedar jalan penyelesain yang paling akhir hanya dengan berpolitik," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails