WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Saturday, July 3, 2010

Petronas tak perlu bayar RM30b dividen setahun



 Petroleum Nasional Berhad (Petronas) sepatutnya tidak kekal membayar RM30 bilion setahun kepada kerajaan Pusat sebagaimana pada paras tahun lepas, kata Ahli Parlimen Selangor, Dr. Dzulkifly Ahmad.

Menurut beliau, jumlah pembayaran dividen pada kerajaan sewajarnya berdasarkan keuntungan bersih yang diperolehi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

“Tidak wajar untuk Petronas dipaksa membayar pada kerajaan kekal tinggi RM30 bilion, sepatutnya dividen ini dibayar oleh Petronas kepada pemegang saham, iaitu kerajaan berkadaran dengan keuntungan.”

Ini kerana, beliau berkata, keuntungan Petronas merosot 23.2 peratus daripada RM52.5 bilion menjadi RM40.3 bilion.

Kemerosotan itu, katanya lagi, disebabkan kemerosotan permintaan minyak dunia bagi tahun kedua berturut-turut kepada 84.4 juta tong sehari.

“Purata harga aras minyak mentah di West Texas Intermediate turun 20 peratus pada USD70.59, manakala harga minyak mentah Malaysia pun turut turun pada USD72.69,” ujar beliau memetik perangkaan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Datuk Samsul Azhar Abbas, semalam.

Impaknya, beliau berkata, perolehan Petronas menurun 18.1 peratus daripada RM264.2 bilion menjadi 216.4 bilion sahaja.

Manakala, katanya, keuntungan pra cukai Petronas pula merosot 24.5 peratus pada RM67.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2010.

Bagi beliau, tindakan kerajaan dengan tidak melihat realiti cabaran yang dihadapi oleh Petronas itu disebabkan kerajaan terlalu bergantung pada hasil bahan mentah itu sebagai Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) negara; iaitu kira-kira 44.6 peratus atau RM67.8 bilion.

Ditambah dengan belanjawan defisit yang masuk tahun tiga belas berturut-turut, beliau berkata, perbelanjaan kerajaan pasti kian melebar sekiranya tidak memaksa Petronas kekal membayar dividen pada kadar sebelum ini.

“Kalau Petronas tidak diminta membayar sebegini, tentunya defisit perbelanjaan oleh kerajaan kian melebar dari congakan yang sedia ada, iaitu 7.4 peratus dengan hasil Petronas atau 15.1 peratus tanpa hasil petronas mengikut KDNK 2009),” ujar beliau ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi.

Disebabkan itu, beliau merumuskan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan I seakan tidak mempunyai formula ajaib untuk memacu ekonomi berprestasi tinggi sebagaimana yang diselokakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) belakangan ini.

Disebabkan tidak ada formula ajaib, beliau berkata, Najib mungkin terpaksa merancang untuk meluluskan lesen judi sukan bola kepada Kumpulan Berjaya, memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta mengurangkan peruntukan dalam sektor pendidikan dan sebagainya.

“Namun, Najib nampak terumbang-ambing (flip-flop) dengan menangguhkan kesemua formula ini,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails