WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Tuesday, June 29, 2010

'Orang Islam perlu ambil iktibar kisah Natrah'

Penulis Buku Natrah - Cinta, Rusuhan, Air Mata - Datin Seri Fatini Yaacob hari ini menyuarakan kebimbangannya mengenai pepecahan umat Islam yang dianggapnya masalah paling besar menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pada masa ini, tegasnya, orang Melayu berpecah dari segi politik kepada tiga parti besar iaitu Umno, PKR dan PAS.

"Sekiranya tidak ada strategi politik yang berpandangan jauh untuk survival Islam, kuasa politik bakal berpindah hak milik kepada pihak lain dan kedudukan Islam akan semakin teruk terpinggir," katanya yang juga karyawan tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau menegaskan demikian ewaktu membentangkan kertas kerja dalam muzakaran pakar "Selepas 60 tahun kes Natrah: Di Mana Kita?" di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pagi tadi.

Fatini membukukan kisah perjuangan perebutan Natrah antara keluarga angkatnya dengan ibu bapa kandungnya di mahkamah di Singapura sehingga mencetuskan rusuhan pada tahun 1950 - 1960an.

Buku tersebut adalah berasal daripada tulisannya yang disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat pada 1989 yang mengisahkan kisah percintaan antara Natrah dan suaminya Mansor Adabi.
Selain Fatini, turut membentang kertas kerja di muzakarah itu hari ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Datuk Ibrahim Lembut yang mengupas tajuk tersebut dari perspektif undang-undang Islam.

Manakala Fellow Amat Kehormat Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Muhammad Uthman El-Muhammady (
atas, kiri) mengupas dari perspektif pendidikan.

Fatini yang mengupas tajuk itu persepektif sosial mendakwa penganut Islam dilihat lemah selepas pilihan raya umum ke-12, maka kerana itu berlaku provokasi bertubi-tubi terhadap umat Islam.

"Kita pernah mendapat kekuatan dua pertiga majoriti, namun sayangnya kita tidak pernah cuba mengambil kesempatan memartabatkan kedudukan Islam. Pilihan raya umum lalu telah mencabar kedudukan kuasa kita," katanya.
Dalam perbentangan itu juga, Fatini (kanan) yang juga bekas seorang wartawan, turut berasa hairan mengapa sejarah dan tragedi rusuhan dalam peristiwa Natrah yang dianggapnya "sejarah besar" tidak diuar-uarkan dengan meluas.

Beliau menyifatkan pembelaan umat Islam terhadap Natrah itu sebagai satu "kebangkitan Islam" di Tanah Melayu pada waktu tersebut.

"Banyak orang dalam rusuhan tersebut kira-kira 3,000 orang berkumpul dalam masa sebelas hari. Dan ada (di kalangan mereka) yang disekat di Tambak Johor. Ada yang datang ke sana mengayuh basikal dari Kelantan dan Terengganu.

"Tetapi kenapa tidak ada sejarah besar (ini) dalam sejarah Malaysia... Saya tidak ada kepentingan individu ataupun obses kerana sebab saya mengkaji sejarah. Tapi ini adalah kebenaran sejarah," katanya.
Menurutnya lagi, maklum balas daripada orang ramai yang ditemuinya turut mengingati peristiwa tersebut sebagai sebagai 'sebuah sejarah yang tragis".

"Ia tidak pernah padam dalam ingatan kita kerana ia diperkatakan dari mulut ke mulut. Ini kerana isu ini tidak ada orang menulisnya," katanya.

Sehubungan itu, Fatini berharap agar umat Islam mengambil iktibar dari peristiwa Natrah itu.

Sementara itu, Muhammad Uthman pula menjelaskan selepas 60 tahun kes Natrah berlalu, negara merdeka dan orang Islam meneraju negera mereka sendiri tetapi banyak masalah yang dihadapi.

"Bagaimanapun kemerdekaan itu diganggu oleh unsur-unsur pemikiran yang masih terbelenggu dengan sikap yang timbul akibat penjajahan itu; erti kesan penjajahan mental dan jiwa masih ada di kalangan setengah Muslimin.

"Ramai orang Islam mencapai pendidikan tinggi dan mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu-ilmu Islam dan syariat serta cawangan-cawangan ilmu rasional yang diperlukan sehingga ke tahap PhD dan yang setara dengannya atau boleh jadi melebihinya,"katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails