"Saya tak ada komplen. Ia harus dijalankan mengikut undang-undang. Kita tidak boleh melanggar undang-undang negara lain," katanya kepada pemberita selepas upacara menandatangani Perjanjian Bersama Bantuan Undang-undang Dalam Perkara Jenayah antara Malaysia dan Britain di Kuala Lumpur hari ini.
Raja Petra dipercayai melarikan diri ke Britain selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah tahun lalu berhubung artikelnya yang didakwa berunsur hasutan dan fitnah.
Ketika ditanya sama ada perjanjian hari ini akan membantu usaha membawa balik Raja Petra ke Malaysia, Abdul Gani berkata : "Ia akan membantu dalam semua kes bukan saja yang melibatkan Raja Petra. Tetapi kita harus ingat bahawa kita perlu patuhi undang-undang pihak lain. Ini bukannya soal mudah."
Abdul Gani juga menjelaskan bahawa apa yang dimeterai hari ini bukannya perjanjian ekstradisi kerana itu adalah satu proses lain.
"Memang ada persefahaman mengenai ekstradisi ini tetapi setakat ini kita tidak membuat sebarang permohonan kepada United Kingdom bagi perjanjian ekstradisi yang sebenarnya.
"Perjanjian ekstradisi adalah sesuatu yang kita perlu fikirkan kemudian, tetapi kita berpuas hati dengan perjanjian bantuan bersama yang dimeterai hari ni," katanya.
Ketika ditanya sama ada jawapan bertulis daripada bekas penyiasat persendirian S.Balasubramaniam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diterima di mahkamah di negara ini, Abdul Gani berkata:
"Apa saja yang dilakukan oleh SPRM, mereka harus patuh kepada undang-undang kita. Keterangan tak semestinya yang dicatat oleh polis. Semua dokumen boleh diterima di mahkamah asalkan kita patuh kepada undang-undang. Bagi saya, tak ada masalah."
Balasubramaniam dikehendaki menjelaskan dua akuan berkanun yang bercanggah yang dibuatnya berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
SPRM membatalkan hasrat untuk pergi ke London bagi mendapatkan keterangan daripada penyiasat persendirian itu dan sebaliknya mengemukakan soalan menerusi peguam beliau.
No comments:
Post a Comment