TAK LEPAS...pemain Selangor, Hardi Jaafar (tengah) diasak dua pemain Pulau Pinang di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
“Sukan tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan politik dan apabila dicampur, beginilah jadinya. Saya benar-benar tidak faham dengan apa mereka cuba lakukan. Kalau benar mereka berhasrat memperjuangkan nasib bola sepak, mengapa tidak terus menelefon saya dan meluahkan apa yang terbuku?
“Adalah tidak adil sekiranya mereka mendakwa saya tidak memberi sumbangan kepada FAP dan adakah mereka sedar berapa banyak wang yang saya bawa masuk hingga membolehkan semua tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta cukai pendapatan FAP diselesaikan? Apa yang mereka buat dulu sampaikan hutang FAP bertimbun?
“Saya serta beberapa yang lain bersusah payah mencari dana untuk menyelesaikan sebahagian besar masalah kewangan dihadapi FAP, tetapi mereka tetap menuduh saya sebagai tidak memberi sumbangan. Saya juga anak Pulau Pinang dan sudah tentu saya mahu melihat skuad negeri saya mampu bersaing tapi bukan salah saya kalau pemain gagal sedangkan saya sudah menjalankan semua tanggungjawab saya.
“Saya yakin semua ini berpunca selepas saya memberitahu mesyuarat majlis FAP saya tidak lagi bernaung di bawah payung politik kerajaan negeri. Saya kesal dan kecewa apabila soal parti politik ini dijadikan alasan untuk menghentam saya. Kalau beginilah senario yang berlaku (politik dicampuradukkan dengan sukan), saya yakin sampai bila-bila pun sukan kita tidak maju,” kata Zahrain.
Kelmarin, anggota kelab gabungan FAP yang menjadikan bekas Naib Presiden, Gary Nair mendakwa 60 peratus ahli tidak berpuas hati dengan prestasi Zahrain mengendalikan badan induk itu, sekali gus menyaksikan Pulau Pinang menjadi skuad belasahan dalam saingan Liga Super musim ini.
Gary menggesa Zahrain yang dicalonkan merebut salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden FAM itu supaya meletakkan jawatannya kerana beranggapan beliau perlu bertanggungjawab di atas apa yang berlaku terhadap skuad Harimau Kumbang itu.
“Saya dipilih dalam mesyuarat agung. Kalau mereka mahu melawan saya, silakan berbuat demikian pada sesi mesyuarat agung akan datang (tahun depan). Mereka perlu ingat ketika saya mengambil alih jawatan presiden, di manakah kedudukan Pulau Pinang di dalam Liga Super? Adakah ketika itu Pulau Pinang sedang mendahului Liga Super?
“Soal kegagalan Pulau Pinang bukanlah tanggungjawab saya seorang. Ia adalah tanggungjawab semua anggota FAP,” katanya.
No comments:
Post a Comment