1. Kalau harga petrol naik 5 sen satu liter ertinya RM2.00 bagi setiap 40 liter . Saya sebut demikian sebab mana ada kereta yang bubuh minyak satu liter sahaja. Begitu juga dengan gas , naik harga 10 sen satu kilo , maka satu tong naik RM 1.40 . Justeru , tidak pula pernah saya dengar ada orang beli gas hanya satu kilogram .
2. Gula juga mengalami kenaikan harga mendadak pada kadar 25 sen satu kilo menjadikan harganya kini RM 1.75 sekilo .
3. Syahdunya kali ini kerajaan cukup bijak menyembunyikan "agenda" apabila mewajarkan kenaikan harga barang ini dengan menggunakan istilah penyelarasan semula subsidi demi kepentingan ekonomi negara , sebagai sebuah puisi yang mampu mengulit rakyat .
4. Saya melihat pelarasan subsidi ini tidak adil kepada rakyat terutama rakyat yang berpendapatan rendah dan tidak tetap . Mereka terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang keperluan ini berbanding mereka yang berpendapatan tinggi dan mereka yang mendapat pembiayaan kerajaan .
5. Allah swt telah memberikan anugerah kekayaan yang melimpah ruah kepada negara ini melalui hasil mahsul dan bahan mentah yang begitu banyak . Kekayaan ini adalah nikmat Allah untuk dirasai oleh seluruh hambaNya . Malangnya hasil kekayaan ini hanya berlegar dikalangan orang - orang kaya dan pembesar dikalangan mereka . Sepatutnya hasil kekayaan negara yang dibahagikan kepada rakyat untuk dinikmati bersama itu , bukan subsidi tetapi mengembalikan hak rakyat kepada rakyat untuk dinikmati .
6. Ingat , rakyat bukan pengemis dalam negara sendiri yang berdaulat sehingga apa jua hasil negara yang patut dinikmati oleh rakyat disebut sebagai subsidi . Kini , Masyarakat atau rakyat yang berpendapatan rendah terus dihambat resah dan dibelenggu rasa bimbang berdepan dengan peningkatan taraf hidup pada hari ini . Pastinya apabila minyak setiap kali diisi mengalami kenaikan RM 2.00 [ untuk setiap 40 liter ] dan gas RM 1.40 setiap satu tong serta gula 25 sen sekilo akan menyaksikan kenaikan harga barangan lain dipasaran .
7. Walaupun kerajaan berjanji untuk mengawal kenaikan barang di pasaran tetapi pengalaman kita sebelum ini hanya menyaksikan satu kegagalan yang berterusan . Mereka pantaulah buat sehari dua ini , kemudian rakyat akhirnya pasrah begitu sahaja dengan kenaikan harga barang yang tiada siapa lagi bangkit berjuang membela nasib rakyat tertindas selepas itu .
8. Istilah Penyelarasan subsidi juga dilihat sebagai istilah tidak tepat dan wajar dilakukan oleh kerajaan . Lantaran apalah ertinya , sebuah kerajaan jika tidak memberi kepada rakyat akan nikmat yang wajar dinikmatinya . Rakyat berhak memiliki agihan saksama kekayaan negara . Kecualilah negara kita adalah sebuah negara yang miskin dan tidak mempunyai sebarang hasil , di darat mahupun laut .
9. Alasan kerajaan ialah untuk mengawal dan mengimbang ekonomi negara lalu "pelarasan semula subsidi dilakukan ." Kalau benar sekalipun untuk tujuan peningkatan dan penumbuhan ekonomi negara , kerajaan tidak perlu malah tidak berhak mengambil dan meragut hak rakyat menikmati hasil negara ini . Kenapa tidak kerajaan membaik pulih kebocoran dan ketirisan yang berlaku pada pembendaharaan ekonomi negara dan sistem pengendalian kewangan negara .
10. Selayaknya langkah awal dan drastik yang wajib diambil oleh kerajaan ialah mengelakkan pembaziran dan pemborosan wang negara pada projek yang tidak mendatang keuntungan kepada rakyat . Pembiayaan wang negara pada jumlah yang besar kepada syarikat konsultan seperti APCO , kapal selam yang tidak boleh menyelam dan projek - projek mega yang dilihat sebagai bukan keutamaan berbanding kebajikan rakyat yang wajib diperjuangkan oleh kerajaan .
11. Kerajaan dilihat lebih zalim dan tidak bertanggungjawab apabila menaikkan harga barang , mereka terus mendiamkan diri dari berbuat sesuatu untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah dan tidak tetap demikian juga kepada penganggur yang semakin meningkat kadar bilangan mereka .
12. Tidak mustahil , ekoran kos kehidupan yang mula meningkat naik , meletakkan masyarakat lebih tertekan untuk bersaing dalam dunia yang tidak adil kepada mereka . Akhirnya keadaan ini menjerumuskan mereka ke dalam kancah jenayah yang mereka sendiri tidak merestuinya seperti mencuri , menyeludup dan sebagainya . Sementara kerajaan juga dilihat bersikap acuh tidak acuh dalam membina dan mendidik spiritual rakyat agar mereka menjadi insan yang soleh dan bermoral .
Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment