Tuesday, November 16, 2010

Sultan Kedah dukacita...

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dukacita kerana ada pihak yang tidak menghargai sumbangan Kerajaan Negeri kepada mangsa banjir yang melanda negeri ini dua minggu lalu.

Baginda bertitah, terdapat suara sumbang yang tidak menghargai pengorbanan Kerajan Negeri dan semua pihak yang terlibat membantu mangsa banjir. 

“Beta simpati terhadap 60,240 mangsa banjir dan berasa sedih atas kerosakan harta benda, tanaman, ternakan dan kemudahan awam yang dialami setiap mangsa. Beta harap semua mangsa banjir bersabar dengan ujian ini,” titahnya ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di sini, semalam.

Tuanku Abdul Halim turut merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, badan sukarela dan semua pihak yang bekerjasama tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan fahaman politik ketika negeri ini berdepan dengan bencana banjir.

“Kerjasama dan bantuan yang dihulurkan jelas menggambarkan semangat persaudaraan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum ketika menghadapi bencana,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut menggesa semua wakil rakyat menyumbang dan menjana idea baru bagi membolehkan ekonomi dan pembangunan negeri terus berkembang secara holistik dan pesat.

“Beta menyeru semua kakitangan Jabatan Negeri dan Persekutuan tidak alpa dan berasa selesa dengan kemudahan yang dinikmati. Usaha secara berterusan perlu dibuat bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam mengurus aspek pentadbiran dan kewangan jabatan masing-masing,” titah baginda.

Baginda mahu amalan berbelanja secara berhemah diutamakan dan dijadikan teras bagi mengawal pembaziran dalam perbelanjaan.

“Beta mahu usaha meningkatkan kutipan hasil Negeri digiatkan di samping meneroka punca-punca hasil yang baru,” titah Tuanku Abdul Halim. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails