WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Friday, May 28, 2010

PAS kesal, Najib gadai Tanah KTMB dengan sebiji Durian

PAS kesal, Najib gadai Tanah KTMB dengan sebiji Durian
Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad   
THURSDAY, 27 Mei 2010 08:38

KENYATAAN MEDIA
PAS KESAL, NAJIB GADAI TANAH KTMB DENGAN SEBIJI DURIAN

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal kerana Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak hanya mengambil masa beberapa jam untuk berbincang dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong untuk memutuskan penyerahan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar kepada syarikat usaha sama Malaysia-Singapura,  M-S Pte Ltd.

Dua hari selepas dijamu makan durian di Pulau Sentosa, Najib mengunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri tanpa merujuk kepada Parlimen dan kabinet. Beliau membuat keputusan menerima kerjasama Hsien Loong yang diajukan tanpa sebarang kertas cadangan dan kajian rasmi. Keputusan ini dicurigai rakyat yang menganggap Najib gadai tanah KTMB dengan sebiji buah durian sahaja!


271 hektar tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah di Bukit Timah kini diserahkan kepada sebuah syarikat yang belum lagi ditubuhkan. Syarikat usaha sama Malaysia-Singapura yang dikenali sebagai M-S Pte Ltd, akan ditubuhkan sebelum 31 Disember tahun ini. Khazanah Nasional memegang 60% kepentingan dan Temasek Holdings Limited akan memegang baki 40%.


Ini bermakna dari jumlah 271 hektar tanah milik KTMB, 40% kini sudah sah menjadi milik Singapura melalui perkongsian pelaburan. Walaupun belum ada kepastian mengenai status pemilikan tanah, tetapi projek sistem transit laju (RTS) menghubungkan Tanjung Puteri, Johor dengan stesen di Woodlands yang dijadual beroperasi pada 2018 melalui projek usahasama ini, kini dibahagi dua kepada Singapura.


Najib juga gagal memberikan penjelasan terperinci tentang cadangan memindahkan Stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) milik Singapura menjelang 1 Julai 2011. Malaysia juga dikatakan bakal memindahkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta api di WTCP.


PAS menganggarkan bahawa kos operasi KTMB akan meningkat dan bayaran penyewaan WTCP milik Singapura akan membebankan dimasa akan datang. Sewajarnya suatu tuntutan penjanjian pengecualian sewa atau kajian implikasi kewangan dibuat sebelum cadangan ini dilaksanakan. Kita tidak mahu, KTMB bakal menyertai senarai syarikat milik Kerajaan yang rugi seperti Pos Malaysia Berhad dan Sime Darby Berhad. Kita tidak lupa, kedua-dua syarikat yang rugi ini juga menerima pelaburan dari Khazanah Nasional.


PAS menuntut satu penjelasan dan pembentangan khas berkaitan isu ini dalam sidang parlimen akan datang oleh Perdana Menteri. Kita tidak mahu, suatu hari nanti anak cucu kita marah kerana tanah KTMB di Woodlands digadai hanya dengan sebiji durian!

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails