Pemuda PAS 'gempur' premis judi |
Ditulis oleh Harakahdaily |
WEDNESDAY, 26 Mei 2010 04:14 |
KUALA LUMPUR, 26 Mei - Dewan Pemuda PAS (DPPP) akan mengedarkan risalah membantah judi kepada pengunjung premis judi di seluruh negara bermula hari ini. Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda akan ditempatkan di hadapan premis judi secara bergilir-gilir mengikut shif sehinggalah kerajaan membatalkan judi bola sepak Piala Dunia 2010 bermula Jun ini. Menurutnya juga, DPPP mengajak semua insan yang anti- judi dan prihatin dengan kemungkaran ini bersama-sama mereka mengedarkan risalah berkenaan. "Bermula hari ini sehingga lesen judi dibatalkan, DPPP mengarahkan semua pemuda PAS dan menjemput semua insan prihatin yang anti judi supaya membuat shif secara bergilir-gilir untuk menunggu di hadapan kedai sport toto dan lain-lain premis judi di seluruh negara untuk mengedarkan risalah bantah judi kepada pelanggan atau pengunjung premis perjudian tersebut," katanya kepada Harakahdaily. Beliau juga memberitahu, risalah berkenaan juga boleh didapati di blog Gerakan bantah Judi dihttp://bantahjudi.wordpress.com. Dalam perkembangan lain, di peringkat zon timur, DPP kelantan Jumaat ini akan mengadakan demontrasi membantah lesen judi dan mendesak Timbalan Menteri Kewangan, Dr. Awang Adek Hussin meletakkan jawatan. Bantahan itu akan diadakan di perkarangan Masjid Kampung Repek, Bachok selepas solat Jumaat. Ia akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang juga ahli parlimen Bachok, timbalan DPPP Azman Shapawi Abdul Rani dan ketua DPP Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman. Manakala di zon Selatan pula, bantahan sama akan diadakan perkarangan Masjid Al Azim, di bandar Melaka. |
No comments:
Post a Comment