WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Wednesday, June 2, 2010

PAS ziarah keluarga wartawan Awani

PAS ziarah keluarga wartawan Awani
Ditulis oleh Harakahdaily   
WEDNESDAY, 02 JUNE 2010 07:44


ALOR SETAR, 2 Jun - Tiada khabar yang lebih menggembirakan seorang ibu selain mendengar sendiri suara anak tunggalnya yang diberitakan telah ditahan oleh rejim zionis Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Demikian yang terjadi kepada Wan Mahfuzah Wan Jamil, ibu kepada wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26, yang ditahan bersama-sama dengan 12 rakyat Malaysia, Isnin lalu.


Wan Mafuzah ketika dikunjungi di rumahnya di Lorong Kampung Pisang, Jalan Kanchut, dekat sini dapat mendengar sendiri lintas langsung melalui siaran Astro Awani di mana Ashwad sedang melaporkan keadaan di sempadan Jordan yang mana rakyat Malaysia yang ditahan telah dibebaskan.


Kira-kira 15 minit selepas itu, Ashwad sendiri telah menelefon ibunya itu dan sempat berbual kira-kira lima minit bersama Wan Mahfuzah dan bapanya, Ismail Yaakub.


Wan Mafuzah dan Ismail mengucapkan syukur dengan keadaan anak mereka dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan bantuan.


Terdahulu, pimpinan PAS diketuai Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar menziarahi Wan Mafuzah dan Ismail di kediaman mereka dan mengadakan majlis bacaan Yaasin dan doa selamat.


Turut serta, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Ustaz Ahmad 'Izzat Shauki, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Hayati Othman dan Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.


Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Datuk Rohsidi Osman dan Setiausaha PAS Alor Setar, Adnan Saad.


Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mahfuz melahirkan rasa syukur dengan perkembangan semasa dan berharap agar masyarakat Malaysia dan seluruh dunia memberikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza itu.


"Saya minta Yang di-Pertuan Agong memberikan anugerah kepada semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi ini kerana keberanian yang telah mereka tunjukkan serta telah mengharumkan nama negara.


"Begitu juga kepada Ashawad, saya berharap kepada kerajaan negeri dan juga perkenan Tuanku Sultan untuk memberikan penghargaan kepada Ashwad selaku rakyat negeri ini yang telah mengharumkan nama negera dan negeri Kedah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails