WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Tuesday, June 15, 2010

Kisah Hashim Osman Bunuh 18 orang askar Zionis



Kawan Asmara seorang pahlawan yang gagah perkasa dalam pertempuran dan tidak gentar menghadapi musuh yang ganas. Beliau adalah seorang anggota PKM yang setia, jiwa raganya dipersembahkan untuk kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat.

Nama asal Kawan Asmara ialah Hashim bin Osman. Beliau lahir pada tahun 1925 di sebuah kampung di Segamat, Johor dan sejak kecil lagi telah kehilangan ibu bapa. Kawan Asmara sempat belajar selama 3 tahun di sekolah Melayu dan beberapa tahun di sekolah Inggeris, kemudian menyambung pelajaran di sekolah pertukangan untuk belajar ilmu injin dan bertukang besi. Tapi malangnya, Perang Pasifik telah meletus, Malaya telah diduduki fasis Jepun, maka pelajarannya pun terbengkalai. 

Di bawah undang-undang kerahan tenaga fasis Jepun, Kawan Asmara dipaksa bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat kapal terbang di Singapura. Setelah Jepun menyerah diri dan penjajah British kembali ke Malaya, Kawan Asmara bekerja sebagai buruh pengangkut minyak di sebuah syarikat minyak di Segamat. Upahnya sangat kecil dan dia pula tidak memiliki tanah walau sekangkang kera pun. Kawan Asmara yang sudah berumahtangga dan mempunyai 2 orang anak itu hidup sangat melarat.

Untuk menambah pendapatan bagi melangsungkan kehidupan seisi keluarga, Kawan Asmara terpaksa membuat 2 pekerjaan dalam satu hari. Pukul 3 pagi, beliau terpaksa bangun untuk menoreh getah, dan pukul 7 pagi bekerja pula sebagai buruh pengangkut minyak. Demikianlah keadaannya minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Kerana terlalu penat bekerja, badannya menjadi kurus kering dan matanya cengkung.

Pada suatu hari, teman sekolahnya, seorang Cina datang menemui beliau. Kawan itu adalah seorang kader PKM yang menyandang sebagai anggota Penerangan Ikatan Pemuda Demokratik Baru di bawah pimpinan PKM. Sesuai dengan pengalaman hidupnya yang sentiasa menderita pemerasan dan penindasan, beliau amat tertarik dengan penjelasan tentang kelas dan perjuangan kelas dari rakan sekelasnya tadi. Dan sejak dari itu beliau mulai memahami apa itu kelas, penjajahan, kapitalisme dan lain-lain.

Di samping itu, dengan bantuan rakan tersebut dan dengan kepandaiannya dalam berbagai bidang, dia telah dapat mencari satu pekerjaan yang agak baik sedikit.

Kerana kemajuan pemikirannya, Kawan Asmara telah diterima menjadi anggota Ikatan Pemuda Demokratik Baru. Di samping itu beliau juga menjadi anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya serta bergiat dalam sayap pemudanya iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) dan kemudian PETA. Pengalaman dari pergerakan-pergerakan revolusioner ini telah memberikan pengalaman-pengalaman dan lampasan yang baik dalam perjuangan membangkitkan massa rakyat untuk melawan kaum penjajah demi kemerdekaan tanah air.

Kerana peningkatan terus menerus kesedaran kelas dan semangat perjuangannya, akhirnya Kawan Asmara diterima pula menjadi anggota PKM. Beliau ditugaskan bekerja sepenuh masa sebagai pejuang revolsuioner professional di kalangan kaum buruh. Beliau telah menjadi seorang kader buruh yang cekap. Kerana usahanya yang gigih berjuang untuk kaum buruh, beliau sangat dihormati dan disayangi para buruh.

Akan tetapi , anasir-anasir reaksioner tempatan dan majikannya yang bersekongkol dengan kaum penjajah British sangat benci kepadanya. Beliau sentiasa diugut, bahkan dibuang kerja oleh majikannya hingga kehidupan keluarganya terkatung-katung. Akan tetapi, halangan demi halangan itu telah lebih memperteguh tekad beliau dalam perjuangan. Justeru itu, beliau lebih dibenci oleh anasir-ansir reaksioner yang menganggpnya sebagai duri dalam daging. Pada suatu malam, anasir-anasir reaksioner secara curi-curi telah membakar pondok kediamannya. Pondok kecil dan isi dalamnya habis musnah dijilat api, tapi nyawa seisi keluarga Kawan Asmara dapat diselamatkan.

Pada bulan Jun 1948, kaum penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat dan melakukan penangkapan di mana-mana, api perjuangan bersenjata di bawah pimpinan PKM pun mulai berkobar di merata negeri. Kawan Asmara yang telah teguh tertempa dalam ujian perjuangan itu tanpa ragu-ragu memanggul senjata menyertai pasukan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) berjuang melawan penjajah British demi kemerdekaan ibu pertiwi. Beliau berkhidmat dalam Rejimen Ke-3 TPNM yang bergerak di Johor utara. Beliau menjawat sebagai Ketua Seksyen kemudian menjadi Pembantu Ketua Platun. Pada tahun 1949, beliau bersama 1 seksyen kawan-kawan Melayu dari Johor diarahkan berpindah ke Pahang Utara untuk bergabung dengan Rejimen Ke-10.

Sepanjang perjalanan dari Johor ke Pahang, Kawan Asmara telah mengharungi keadaan yang luar biasa susah payahnya, tapi beliau selalu tampil ke depan memandu kawan-kawan memecahkan kesulitan demi kesulitan. Umpamanya, pasukan itu bergerak ketika musim banjir, pasukan kadang-kadang terpaksa menyeberangi sungai-sungai yang bergelora arusnya dan bahaya. Ketika itulah Kawan Asmara berenang terlebih dahulu membawa tali atau rotan untuk keselamatan kawan-kawan lain.

Baik ketika di Johor Utara atau ketika bergabung dengan unit Rejimen Ke-10 di Pahang Utara, Kawan Asmara banyak kali menerjunkan diri dalam pertempuran dan berkali-kali mendapat pujian. Pada tahun 1949, ketika berada di daerah Segamat , Johor, 2 sekseyen perajurit yang dipimpin Kawan Asmara tiba-tiba berdempak dengan 1 platun askar Gurkha di atas sebuah bukit. Kawan Asmara dengan cekap dan berani melepaskan tembakan-tembakan yang jitu ke arah musuh sambil mengarahkan pertempuran. Sekalipun musuh lebih ramai, tapi di bawah hentaman para perajurit, askar-askar Gurkha itu menjadi kucar kacir, 10 orang askar Gurkha telah ditembak mati. Mengambil kesempatan itu mereka berundur dari medan pertempuran dengan selamat.

Pada awal tahun 1950, ketika dalam perjalanan menuju Pahang Utara, Kawan Asmara memimpin satu regu menyerang hendap motobot musuh di kawasan Tasik Bera. Bila motobot musuh memasuki perangkap serang hendap, kawan-kawan melepaskan tembakan yang jitu dan membasmi semua musuh di dalamnya. Kawan Asmara tanpa lengah-lengah berenang ke arah motobot dan merampas 3 laras senapang, 3 laras lagi tak sempat diambil kerana motobot sudah tenggelam. Atas keberanian dalam tindakan tersebut, pihak pimpinan telah menyampaikan pujian khas kepada Kawan Asmara.

Pada awal tahun 1952, seramai 18 orang kawan termasuk Asmara ditugaskan mengambil perbekalan di sebuah kem kurungan Jerkuh, Kuala Lipis. Oleh kerana pengkhianatan anasir kontra revolusi, satu platun askar upahan penjajah telah memasang perangkap serang hendap di tepi kem kurungan. Akan tetapi kerana pengawasan dan ketangkasan kawan-kawan, serangan hendap tersebut dapat digagalkan. Apabila pertempuran meletus, kawan-kawan membalas tembakan musuh dengan berondongan-berondongan yang hebat, 2 orang musuh dibasmi. Mengambil kesempatan musuh sedang kucar kacir, kawan-kawan berundur dengan selamat sambil membawa barang-barang perbekalan kembali ke pasukan.

Selain mengambil bahagian dalam pertempuran-pertempuran melawan askar upahan penjajah, Kawan Asmara juga banyak kali melancarkan tindakan-tindakan untuk menekan hantu-hantu penjajah dan anasir-ansir kontra revolusi. Dengan terhapusnya mata dan telinga penjajah, barulah kerja revolusi dapat berkembang dengan pesat. Kawan Asmara telah menjalankan tugas ini dengan baik.

Pada tahun 1950, tak lama setelah tiba di Pahang Utara, Kawan Asmara dilantik sebagai Ketua Platun kerana keberanian dan kehandalannya dalam pertempuran dan kerana semangat tanggungjawabnya yang tinggi. Sekalipun kedudukannya sebagai Ketua Platun, tapi beliau sentiasa merendah hati dan berhubung erat dengan kawan-kawan. Dalam kehidupan harian, beliau tetap menganggap dirinya sebagai seorang perajurit biasa. Beliau mencintai kawan-kawan bawahan dan mengambil berat menyelesaikan masalah atau kesulitan kawan-kawan, baik dalam fikiran mahupun dalam kehidupan. Di samping itu, beliau mengambil berat kerja keringat, tidak melepaskan peluang untuk bekerja bersama kawan-kawan,dari menggali jamban, memunggah perbekalan hinggalah masak memasak dilakukannya dengan penuh tanggungjawab.

Di samping itu, Kawan Asmara juga seorang penggemar seni. Dengan semangat keremajaan revolusioner yang meluap-luap, beliau mempersembahkan alunan lagu dari harmonikanya untuk lebih memeriahkan majlis-majlis perayaan atau pada masa lapang bagi menghiburkan kawan-kawan. Oleh yang demikian, beliau sangat disayangi oleh kawan-kawan.

Antara tahun 1951-1952, penjajah British telah melancarkan kempen kepung basmi secara besar-besaran terhadap pasukan Rejimen Ke-10. Di samping melakukan serangan dari darat dan udara, musuh juga melancarkan apa yang dinamakan gerakan mengkebulurkan pasukan gerila dengan menyekat sumber perbekalan. Massa rakyat di pinggir hutan yang merupakan penyokong kuat pasukan gerila telah dihalau ke dalam kem-kem kurungan.

Perjuangan ketika itu amat kejam dan rumit. Pasukan telah menghadapi keadaan yang luar biasa susah payahnya, perbekalan sentiasa terputus. Untuk mempertahankan perjuangan, kawan-kawan terpaksa mencari sayur-sayur liar, untuk menghubungi massa rakyat, kawan-kawan terlebih dahulu harus siap bertempur dengan musuh.

Justeru dalam keadaan yang amat sulit ini, Kawan Asmara telah melahirkan watak luhurnya yang pantang tunduk dan tak gentar menghadapi maut demi kemerdekaan dan pembebasan tanah air. Beliau sentiasa tampil ke depan memandu kawan-kawan melancarkan perjuangan gigih mengatasi kesulitan perbekalan dan serangan dari musuh. Berkat usaha gigih segenap kawan, satu persatu kesulitan dapat diatasi.

Pada suatu hari pada bulan Mei 1953, Kawan Asmara telah menerima satu tugas mendesak. Beliau dikehendaki meyampaikan petunjuk kawan pimpinan kepada unit penyusun massa. Kawan Asmara pun bertolak bersama seorang perajurit kecil. Dalam perjalanan, tanpa disedari mereka telah berdempak dengan seplatun askar musuh. Dalam pemberondongan musuh yang pertama, Kawan Asmara telah terkena peluru di bahagian perutnya. Dia menahan kepedihan sambil membalas musuh dengan tembakan-tembakan gencar dari muncung tomygunnya. Melihat beliau seorang diri dengan ditemani oleh seorang perajurit kecil, musuh menjadi bukan main congkaknya. Mereka berteriak-teriak menyuruh beliau menyerah diri dan berkali-kali melakukan penyerbuan. Akan tetapi, pahlawan tidak gentar walaupun musuh berpuluh-puluh kali ganda. Dengan semangat juang yang meluap-luap, beliau menjawab pekikanmusuh dengan tembakan-tembakan gencar. Serbuan-serbuan musuh telah dapat dipatahkan dan barisan musuh menjadi kucar kacir. Dalam pertempuran hebat menentukan hidup mati itu, Kawan Asmara telah menembakkan hampir 200 biji peluru, 18 orang musuh telah ditewaskan. Mengambil kesempatan musuh dalam keadaankucar kacir itu, Kawan Asmara berundur sambil melindungi perajurit kecil tadi.

Malangnya, beliau telah luka parah. Setelah berundur kira-kira 15 minit, beliau tidak berdaya lagi untuk berjalan. Beliau menyerahkan tomygunnya kepada perajurit kecil itu sambil berkata: “Saya akan korban, serahkanlah senjata ini kepada pimpinan, sampaikanlah salam hormat saya kepada pimpinan dan kawan-kawan. Harap kawan-kawan teruskan revolusi sampai akhir”.

Demikianlah Kawan Asmara, putera terbaik Negeri Johor telah menyumbangkan jiwa raganya demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat. Abadilah Pahlawan Asmara di pelukan ibu pertiwi!

Semoga rohmu diletakkan di kalangan orang-orang yang dikasihi Allah!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails