WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Saturday, July 17, 2010

MB tak sedar pengusaha kecil pasir

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata beliau tidak menyedari bahawa wujud kumpulan pengusaha pasir secara kecil-kecilan dan juga pencuri pasir di Selangor.

Katanya beliau juga baru mengetahui bahawa terdapat pihak yang hanya menjadi ejen bagi mendapatkan lesen pasir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diajukan rungutan Jawatankuasa Bertindak Pengusa-Pengusaha Pasir Melayu Selangor semalam bahawa royalti dikenakan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) untuk kerja mengeluarkan pasir sungai bernilai RM6 satu tan adalah tinggi dan memberi margin keuntungan yang sedikit kepada para pengusaha pasir kecil-kecilan.

Abdul Khalid (
kiri) yang sebelum itu melancarkan Konvensyen Falak Selangor 2010 anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor di Shah Alam, berkata rungutan jawatankuasa yang dianggotai 50 pengusaha pasir Melayu itu telah memberikan maklumat kepada kerajaan negeri mengenai kos sebenar pengeluaran pasir.

Dilaporkan antara sebab berlakunya kecurian pasir ialah royalti RM6 satu tan yang tinggi sedangkan kos pengeluaran pasir ialah sekitar RM11 satu tan berbanding harga jualan antara RM12 ke RM14 satu tan.

Abdul Khalid yang menegaskan tujuan KSSB ditubuhkan bukan untuk mencari keuntungan tetapi untuk mewujudkan keadaan bekalan pasir yang stabil, berkata kerajaan negeri akan berusaha membantu pengusaha pasir berkenaan untuk menjadi lebih cekap dan mampu bersaing.

Namun, beliau berkata usaha itu akan memakan masa yang lama kerana kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah kecurian pasir terlebih dahulu kerana isu itu lebih utama.

Mengenai peraturan melombong pasir di tanah persendirian yang memerlukan keluasan sekurang-kurangnya lapan hektar, Abdul Khalid berkata keluasan itu bagi memastikan cukup tanah di sesuatu kawasan lombong itu untuk menimbus semula lubang-lubang yang digali semasa mengeluarkan pasir.

Katanya hasil kajian oleh kerajaan negeri sebelum ini mendapati oleh kerana tiada program pemulihan untuk menimbus lubang-lubang selepas pasir di lombong, menyebabkan banyak lubang-lubang di Selangor.
Menteri Besar berkata beliau tidak menyangka peraturan itu telah menyekat peluang perniagaan pengusaha pasir kecil-kecilan dan menurutnya kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan perkara itu.

Sementara itu, Abdul Khalid juga meminta kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam membanteras kegiatan curi pasir daripada segi aspek pendakwaan kerana kuasa pendakwaan terletak di tangan Peguam Negara.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah mendapatkan khidmat jurutera yang pernah bertugas di syarikat perlombongan Malaysia Mining Corporation Bhd untuk menyelia dan memantau aktiviti perlombongan yang dijalankan KSSB.

Mengenai tindakan kerajaan negeri yang mahu mendedahkan syarikat-syarikat yang menerima permit pasir sebelum tahun 2008, Menteri Besar berkata kerajaan negeri perlu melakukan semakan terlebih dahulu sebelum mendedahkannya.

"Ia perlu disemak terlebih dahulu sebab mungkin berlaku pertukaran lembaga pengarah atau pemegang-pemegang saham," katanya.

Semalam kerajaan negeri dalam satu kenyataan menyatakan sebanyak 158 permit bagi perlombongan pasir dikeluarkan antara 2005 hingga 2007.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails