Assalamualaikum,ustaz...
Kilang tempat saya bekerja menganjurkan aktiviti tarian poco-poco setiap pagi sebelum masuk bekerja sebagai satu bentuk riadah ataupun senaman.Di sini timbul kemusykilan.
Poco poco tersebut dilakukan bersama sama lelaki dan perempuan(campur)dan disertai oleh orang islam dan bukan islam.Guru tersebut juga adalah perempuan dan semua termasuk lelaki juga terpaksa belajar dengannya atas suruhan pihak atasan.Pergerakkan poco poco tersebut mengkehendaki seseorang untuk 'berlenggok-lenggok' dan bergoyang-goyang' dalam aksi yang hanya sesuai di lakukan oleh perempuan sahaja.
- Adakah Poco poco itu HARAM?
- Apakah hukumnya menari bersama-sama lelaki dan perempuan?
- Adakah Islam membolehkan wanita menari poco poco secara berasingan dengan lelaki?
- Apakakah hukumnya lelaki melakukan poco-poco kerana pergerakkan tersebut menyerupai perempuan(gerakan lembut).
Jawapannya :
Maksud senam robik atau poco-poco ini adalah bersenaman dengan mengikut rentak lagu. Poco-poco berasal dari lagu yang diberikan tajuk poco-poco diterbitkan di Indonesia. Tetapi ada orang berpendapat bahawa poco-poco ini berasal dari penganut Kristian Filipina yang melaksanakan tarian ini setiap kali mereka menghadiri upacara keagamaan pada setiap minggu di gereja. Tiadak kisah ia berasal dari negara mana, kerana rentak dan teknik tariannya adalah sama kalau dilihat di mana-mana negara.
Senaman poco-poco ini juga boleh dikategorikan sebagai hiburan yang mempunyai unsur kesihatan. Menurut Imam Al-Ghazali juga telah menyatakan bahawa hiburan ini termasuk dalam apa yang diistilahkan sebagai al-lahwu dan menjelaskan hukumnya adalah harus bagi Muslim untuk berhibur dengan syarat tidak berlebih-lebihan.
Sebelum saya menghuraikan hukum poco-poco mengikut pandangan saya yang tidak seberapa, ini bertujuan untuk mengeluarkan sahabat-sahabat semua dari dibelenggu dengan masalah status halal atau haramnya. Saya berpendapat bahawa senaman poco-poco ini seolahnya seperti sebuah tarian yang diiringi dengan rentak lagu yang dipasang.
Saya datangkan dahulu hukum tarian dalam Islam menurut pendapat Dr. Yusuf Qoradhawi dalam kitabnya yang bernama Fatwa Muasarah :
- Tidak bertentangan dengan adab Islam dan ajarannya. Tarian yang menamppakkan aurat, yang membawa kepada kelalaian, adanya ikhtilat jelas keharamannya. Karena bertentangan dengan perintah Allah Swt.
- Memperhatikan bentuk tariannya. Tarian yang membangkitkan syahwat juga dilarang dalam Islam.
- Tidak boleh mengiringinya dengan sesuatu yang haram. Seperti meminum khamar, memperlihatkan aurat, memanggil jin dll. Apabila sudah dicampur dengan sesuatu yang haram maka tarian itupun jadi haram.
- Tidak melampaui batas dan berlebih-lebihan. Segala yang melampaui batas dan berlebih-lebihan dilarang didalam Islam.
- Berkenaan dengan yang melihat dan mendengarkan. Setiap orang yang melihat tarian ataupun mendengarkan lagu-lagu sehingga membangkitkan syahwatnya, menimbulkan fitnah dan menghilangkan akal sehat wajib dijauhinya.
Saya datangkan juga garis panduan tarian yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang bertarikh 14 Januari 2009 (Klik Di sini) sebagai rujukan masyarakat Islam Malaysia seperti berikut :
- Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
- Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
- Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
- Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
- Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.
Analisis Saya
Berdasarkan kedua-dua pendapat di atas, saya berpendapat bahawa senaman atau tarian poco-poco itu adalah harus berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Islam seperti tidak bercampur antara lelaki dan perempuan, tidak membuka aurat, tarian yang tidak boleh membangkitkan nafsu, tidak menimbulkan fitnah, tidak melalaikan, tidak memasang lagu yang melalaikan dan tidak ada unsur pemujaan sepertimana dinyatakan dalam 2 pendapat di atas.
Realiti yang berlaku dikebanyakkan tempat dalam negara Malaysia melaksanakan tarian poco-poco ini bercampur antara lelaki dan perempuan, dilaksanakan di tempat yang terbuka, perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna, memasang lagu yang ada unsur-unsur keterlaluan dan melalaikan. Jika Keadaan seperti ini berlaku, maka saya lebih cenderung berpendapat haram kerana ia melanggar syarat-syarat yang ditetapkan dalam Islam sepertimana dinyatakan di atas.
Tidak menjadi masalah kalau tarian poco-poco ini diasingkan antara lelaki dan perempuan ditempat yang berbeza. Tarian poco-poco perempuan dibuat ditempat yang tertutup dan jauh dari pandangan lelaki, tidak memakai pakaian yang menjolok mata atau seksi dan dipasang dengan lagu yang mempunyai unsur yang baik. Di sini tiada apa yang dapat dipertikaikan lagi dan Islam juga tidak menghalang umatnya berhibur, tetapi biarlah hiburan itu mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syarak.
Lelaki menyertai tarian poco-poco menyerupai perempuan? Menurut pendapat saya tiada asas pandangan ini, kerana ia tidak disertakan dengan fakta yang jelas. Tarian poco-poco adalah bertujuan untuk bersukan dan menyihatkan badan dan tiada fakta yang mengatakan bahawa tarian poco-poco ini meniru atau hanya untuk perempuan sahaja. Sepertimana saya jelaskan di atas, kalau tidak bercampur lelaki dan perempuan dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh Islam, maka harus bagi lelaki menyertai tarian tersebut.
Tarian poco-poco berasal dari agama kristian? Saya berpendapat bahawa tarian poco-poco ini yang dilaksanakan di Malaysia tidak pula menampakkan unsur-unsur keagamaan dan tiada pula setiap pergerakkannya berlambang kristian seperti yang didakwa oleh sesetengah blog dan artikel. Saya juga berpendapat bahawa tarian poco-poco ini tidak mengamalkan budaya agama mereka. Hujah saya yang mengatakan seperti ini ialah tarian tersebut tidak menjejaskan akidah umat Islam, dan tidak mensyirikkan Allah. Jauh sangatlah kalau dikatakan tarian poco-poco ini mengikut agama kristian.
Saya tegaskan di sini bahawa saya tidak membangkang pendapat orang yang mengatakan haram disebabkan poco-poco ini mengikut budaya kristian atau sebagainya, kerana mereka juga mempunyai hujah. Segala hujah saya di sini bukan menyokong tarian poco-poco ataupun menidakkan tarian poco-poco! kalau anda semua mempunyai hujah berdasarkan pendapat-pendapat ulamak, maka teruskan dengan hujah anda semua. Artikel saya ini bukan fatwa, tetapi ini sekadar pendapat saya sahaja berdasarkan ilmu yang lemah dan saya tidak layak mengeluarkan fatwa.
No comments:
Post a Comment