WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Wednesday, July 14, 2010

Saiful Apek takut mahkamah Padang Mahsyar



Saiful Apek sentiasa percaya, Allah Maha Kaya untuk menentukan jatuh bangun dan rezekinya. "Saya lebih takut apabila diadili di mahkamah mutlak iaitu di Padang Mashyar kelak," katanya. Saya akan cuba bermati-matian menerusi kempen antialkohol, dadah dan penganiayaan.


 
Adakah dakwaan Saiful Apek Kena Tipu RM500,000 oleh sebuah syarikat penerbitan filem ada kaitan dengan kes ini ?  
Mana pergi peguam pembela rakyat , pembela Melayu , pembela artis , pembela keadilan dalam kes Saiful Apek ini ? 
*************************
Saiful Apek tidak gentar
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
 
Terharu, sebak kerana ramai peminat terus bagi sokongan
 
TABURLAH apa saja kata nista atau penghinaan terhadapnya, semua itu tidak pernah sesekali menakutkan Artis Komedi Popular, Saiful Apek, 41, untuk bertentang mata dengan masyarakat.
 
Suara minoriti yang cuba melemahkan semangat perjuangannya itu tidak akan sesekali diendahkan. Saiful Apek sentiasa percaya, Allah Maha Kaya untuk menentukan jatuh bangun dan rezekinya.
 
"Saya lebih takut apabila diadili di mahkamah mutlak iaitu di Padang Mashyar kelak," katanya dalam nada lemah ketika dihubungi atas bantuan pengurusnya, Adam, petang Sabtu lalu.
 
Diserang selsema, batuk dan demam, artis komedi kelahiran Gombak, Selangor itu berterima kasih dan bersyukur kepada Tuhan kerana dipilih melalui pengalaman yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit atau harta benda.
 
Biar mungkin ada yang mencemuh, Saiful berkata, peristiwa penahanan selama lima hari kerana disyaki mengambil dadah membawanya melalui satu proses peralihan yang sukar untuk digambarkan dengan perkataan.
 
Sakit dan trauma berdepan situasi itu masih dirasai tetapi kata pelakon yang baru muncul dengan filem Kecoh Betul, peristiwa itu juga akhirnya menemukan dia dengan siapa dirinya yang sebenar.
 
"Saya lebih kenal siapa diri saya, juga tahu siapa yang menyayangi dan membenci saya. Saya lalui satu proses yang sukar tetapi masih ada yang menyayangi. "Saya berterima kasih kepada segelintir peminat yang bersusah payah mengumpul dana, bahkan ada yang memecah tabung wang simpanan semata-mata kerana mahu saya bebas," katanya dalam sebak yang tertahan.
Sepanjang lima hari direman, Saiful berterima kasih kepada polis kerana menjaganya dengan baik. Baginya, polis sudah menjalankan kerja mereka dengan adil dan bijaksana. "Maaf saya tidak dibenarkan untuk mengulas kejadian malam itu. Saya juga tidak boleh memberi komen lain yang berkaitan kejadian.
Apa yang dapat saya kongsi cuma pengalaman berharga yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. "Saya percaya kepada Allah. Saya sentiasa meyakinkan diri setiap apa juga musibah yang datang tidak akan menjejaskan diri dan nama baik saya.
Untuk menjadi manusia terbaik, saya harus melalui perkara yang buruk dulu. "Kepada mereka yang cuba menutup pintu rezeki saya, mereka harus ingat Allah Maha Kaya. Dia yang memberikan rezeki kepada setiap manusia dan saya percaya itu," katanya. 
Diasak pertanyaan, apa mungkin penangkapannya itu berlaku disebabkan penganiayaan, Saiful Apek enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada Allah untuk memberikan keadilan. Pada 13 Jun lalu, Saiful ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bersama beberapa rakannya kerana disyaki mengambil dadah.
Dia bersama-sama suspek yang lain ditahan selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun, pada Jumaat lalu (18 Jun), Saiful dibebaskan dengan jaminan polis. Mahu berehat seketika DALAM rendah diri, Saiful yang sudah 12 tahun menekuni industri hiburan mengumumkan hasratnya untuk berundur sementara kerana enggan peristiwa penahanan itu memberi impak kepada keluarga dan anaknya yang sedang membesar.
Katanya, keutuhan dirinya tidak tergugat dengan insiden yang berlaku sebaliknya ingin memanfaatkan kesempatan itu untuk berehat dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. "Saya sudah terlalu penat bekerja dan banyak berhutang masa dengan keluarga. Mungkin ini fadilat yang saya peroleh daripada peristiwa penahanan itu. 
"Biarpun saya berehat daripada industri seni tetapi keputusan itu tidak pernah menamatkan perjuangan saya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.
Saya akan cuba bermati-matian menerusi kempen antialkohol, dadah dan penganiayaan.Keinsafan itu timbul ketika saya ditahan, membuatkan saya sangat bersyukur kerana kembali mendapat nikmat kebebasan," katanya. 
Tidak menetapkan tempoh tertentu untuk berehat, Artis Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2003 itu berkata, dia akan kembali ke dunia seni apabila sudah bersedia nanti. 
Meniti hidup dalam bidang seni mengingatkan Saiful supaya sentiasa meletakkan dirinya sebagai seorang pelajar kerana proses menimba ilmu itu tidak akan pernah berakhir. "Jadi tidak akan ada istilah bersara atau letak jawatan, sebaliknya saya cuma mahu berundur diri seketika.
Saya tidak mahu nanti akan ada suara yang mempertikai apabila saya masih tidak berubah. 
"Ikhlas saya katakan, saya tidak layak dijadikan ikon atau contoh kerana ikon sejati ialah Rasulullah SAW. Tiada siapa yang dapat menggantikan tempat baginda.
  
"Dalam tempoh berehat itu, saya akan cuba berusaha untuk melaksanakan impian yang saya peroleh ketika ditahan reman. Saya akan kembali jika masih ramai yang memerlukan saya dan berasakan saya layak untuk diberi sokongan," katanya.
  
Saiful Apek Dakwa Kena Tipu RM500,000
Teks oleh Thani Hasbullah
KUALA LUMPUR, 13 MEI 2010 : Pelawak popular Saiful Apek atau Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff, 41, mendakwa dia telah ditipu oleh sebuah syarikat penerbitan filem kerana tidak menjelaskan bayaran di atas pelaburan serta kerja-kerja lakonan yang dibuat menerusi dua buah filem. 
Menurut Apek dia sepatutnya menerima bayaran bernilai kira-kira RM500,000 menerusi dua buah filem berkenaan daripada syarikat terbabit yang mana kedua-duanya telah pun ditayangkan pada tahun 2005 dan 2006. 
Dia yang hingga masih lagi merahsiakan nama syarikat penerbitan terbabit bagaimanapun bercadang untuk mengadakan sidang media khas dalam masa terdekat ini bagi mendedahkan perkara ini kepada pihak umum. 
Apek berkata, dia sudah pun melantik peguam dan kes ini akan membawa ke mahkamah. "Buat masa sekarang ini saya tidak akan mendedahkan syarikat mana dan filem mana yang dimaksudkan. Sedikit masa lagi saya bersama-sama peguam akan akan mengumumkannya dalam sidang media khas. 
"Saya terpaksa mengambil tindakan mahkamah kerana ia melibatkan wang yang besar. Bagi saya ia adalah sesuatu penganiayaan terhadap punca utama rezeki saya. Kalau orang buat macam ini pada saya habislah saya. "Bukan sahaja duit pelaburan saya tidak dibayar, malah duit hasil lakonan pun tidak diberi satu sen pun.
Nak kata filem ini tak berjaya, tidak jug. Malah, apa yang saya tahu. kedua-duanya meletup di pawagam. "Hingga hari ini saya berdiam diri dan menyembunyikan perkara ini. Apabila sekian lama menanti, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencari pengadilan.
Lagi pun saya tak mahu ambil tindakan terburu-buru. "Sebab. kalau saya hendak ambil tindakan undang-undang, ia haruslah dilakukan menerusi saluran yang betul. Saya juga bercadang unyuk membuat aduan kepada pihak Seniman," kata Apek ketika ditemui pada majlis pra tonton filem Kecoh Betul di pawagam Golden Screen Cinema di pusat membeli belah Tropicana City petang semalam. 
Tak seperti tahun-tahun sebelumnya, Apek kini jarang muncul di layar perak. Kecoh Betul yang dibintangi Apek sebagai Abang Don misalnya adalah filem pertamanya pada tahun 2010. Mengakui tentang hal itu, Apek berkata, dia kini memang agak jarang muncul dalam filem berbanding tiga, empat tahun dulu.Bukan disebabkan kecewa dengan apa yang berlaku (tidak dapat bayaran) terhadapnya sebelum ini. 
Sebaliknya, Apek mengakui perubahan ini berlaku setelah kemunculan beberapa pelawak-pelawak baru seperti Nabil, Zizan dan Johan. "Hidup ini seperti roda. Masa dulu kita di atas, sekarang kita di bawah pula. Benda ini saya faham sejak sebelum saya menyertai dunia hiburan.
Masa awal-awal kemunculan saya dulu pun, Sabri Yunos pernah berada diatas, saya menggantikan tempatnya dan pada hari ini, mungkin Nabil atau Zizan menggantikan tempat saya. "Saya langsung tidak menganggap perkara ini budaya cantas-mencatas sebab ia adalah lumrah dalam dunia populariti," katanya. 
Filem arahan Jaswant K. Randhawa yang diterbitkan White Merpati Entertainment Sdn Bhd adalah filem aksi komedi yang berkisarkan kehidupan Mat Rempit. 
Malalui filem ini, Apek turut berlakon bersama-sama pelakon lain seperti Nabil (Aiman), Diana Danielle (Dayana), Yatt (Yati), Datuk Aziz Sattar (Pak Aziz), Nasrizal Ngasri (Joe) dan Fauziah Nawi (Emak).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails