WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Wednesday, July 14, 2010

UMNO Sudah Gila Bayang



Lumrah seorang yang gila bayang, sedikit juling dikatakan menjeling manja, bibir sumbing dikatakan tersenyum manis, menjawab salam pun sudah disangka menerima lamaran. Kerana itu perlu berhati-hati melayan orang yang gila bayang, nanti dikata orang yang melayan itu pula yang gila.

Barangkali itulah ungkapan yang tepat untuk UMNO sehari dua ini. Nampaknya lagu lama diulang kembali, rentak lama ingin ditari semula, barangkali dengan pakej yang baru. Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini membawa berita “UMNO – PAS Sedia Jalin Muafakat”, di bawahnya lengkap pula dengan 
caption“Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju bahawa UMNO dan PAS perlu bersatu dalam memperjuangkan agama Islam di negara ini”. Belum cukup lagi, Senyum Kambing pula menambahkan perisa seolah-olah Tuan Guru Nik Aziz sudah setuju UMNO dan PAS bersatu.

            Barangkali selepas ini akan berdondang sayanglah pemimpin-pemimpin UMNO menyahut ‘seruan’ ini. Akan terhiaslah di muka hadapan akhbar-akhbar pro UMNO bahawa pemimpin-pemimpin UMNO ikhlas untuk berpadu. Demi Melayu, demi bangsa, ya, UMNO dan PAS perlu bersatu segera. Jika pandangan pimpinan Pakatan Rakyat pula mengeluarkan kenyataan balas menolak seruan ini diikuti dengan kenyataan Tokguru Nik Aziz yang - sememangnya dari dulu lagi -menolak penyatuan dengan UMNO, terhasillah satu premis, rupanya Tokguru Nik Aziz sudah tunduk dengan rakan-rakan DAP dan PKR, sanggup ketepikan hasrat hati untuk berpadu semata-mata menjaga hati DAP dan PKR!! Bukankah ini natijah yang dikehendaki oleh UMNO? Alangkah kotor sungguh permainan jijik hasil manipulasi media ini. Tidak mustahil, isu pasir pun boleh jerlus dengan cerita perpaduan ini.

            YAB Tuan Guru al-Mursidul Am PAS dari dahulu lagi cukup tegas menolak sebarang perpaduan dengan UMNO jika hanya untuk tujuan politik. Berkali-kali sudah ditegaskan, syarat utama UMNO jika mahu menghulurkan perpaduan ialah UMNO menerima Islam. Ubah dasar kepada Islam terlebih dahulu, baru boleh bermimpi mahu tidur sebantal dengan PAS. Jika hanya demi Melayu, itu hanyalah seruan karut. Bilakah UMNO memperjuangkan Melayu? Adakah pada saat mereka menafikan royalti minyak untuk negeri yang majoritinya Melayu atau ketika mereka meluluskan persempadanan pilihan raya yang tidak memperuntukkan satu pun kerusi tambahan untuk kawasan Melayu? Bermuka tebal sangatkah UMNO hingga tidak tahu malu pada diri sendiri?

            Alkisahnya pemberita hanya mengulurkan mikrofon pada saat Tokguru melangkah masuk ke kereta. Sepatah jawapan tokguru ialah, “Boleh, dengan syarat UMNO terima Islam”. Maka yang keluar di dada akhbar ialah ‘boleh’, dan yang disembunyikan ialah ‘dengan syarat….”. Aduh, jika dikatakan khianat, akhbar pula melatah. Tapi, apalagi perkataan yang lebih sesuai?

            Kesimpulannya, jangan percaya dakyah terbaru ini sebagaimana anda tidak pernah mempercayainya sebelum daripada ini. Saat hampir ajal dan maut Barisan Nasional insya-allah semakin dekat. Jangan hulurkan oksigen menyelamatkan nyawanya. Mari kita kafankan agar ia cepat-cepat dikebumikan.

-coretan oleh Ahmad Fadhli bin Shaari. Beliau merupakan Setiauasaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails