Akhir-akhir ini isu perpaduan kembali diperdebatkan oleh kebanyakan orang politik dan yang meminatinya, manakala golongan yang tidak meminatinya masih dengan gaya hidup sendiri. Saya lebih gemar untuk mengembangkan lagi diskusi isu ini ke ruangan yang lebih besar lagi iaitu Perpaduan Masyarakat Malaysia (bukan konsep 1 Malaysia).
Saya cuba untuk tidak membincangkan isu ini dari sudut politik yang menyentuh polisi dan dasar sesuatu parti politik (seboleh mungkin), soalnya apakah persamaan atau nilai yang boleh diterima bersama yang boleh dijadikan landasan kea rah perpaduan yang boleh ditemui di kalangan masyarakat majmuk Malaysia ?
Di dalam mana-mana pemerintahan sesebuah negara atau masyarakat suatu nilai sejagat dan dapat diterima oleh semua manusia adalah nilai KEADILAN. Sejarah telah membuktikan bahawa nilai Keadilan dapat diterima oleh semua agama. Dan sebagai seorang Muslim, yang menjadi anutan sebahagian besar penduduk Malaysia, mengapa tidak diangkat nilai ini sebagai titik tolak ke arah penyatuan yang diimpi-impikan.
Kita boleh sahaja mempunyai banyak parti politik, NGO, kelab atau apa sahaja pertubuhan asalkan ianya tidak terkeluar dari nilai-nilai keadilan. Bagi parti-parti politik terutmanya parti politik yang menunjangi kerajaan tersangat perlu untuk memastikan perjalanan urus tadbirnya tidak terpesong dari landasan keadilan. Jika nilai ini tidak dipatuhi oleh kerajaan, bagaimana pula kerajaan yang mahu menjuarai isu perpaduan ini. Apakah isu perpaduan yang dilontarkan pemerintah bermaksud bersatu untuk menambahkan kekuatan mereka dan memastikan kuasa memerintah kekal di tangan mereka? Oleh kerana UMNO yang menjadi tunjang kerajaan adalah Islam, mari kita lihat apa panduan untuk kita …. Nabi s.a.w pernah berpesan dgn maksud “ bersikap adil lah kamu kerana adil lebih dekat dengan sifat taqwa..”
Ramai di kalangan masyarakat yang tidak minat dengan politik di Malaysia sudah bosan dan muak dengan sikap pemerintah yang masih tidak mahu berubah di sebalik slogan-slogan yang silih berganti dengan bergantinya pemimpin. Kronisme dan rasuah masih berleluasa di sebalik berbagai kempen dilaksanakan, rasuah di dalam politik dipanggil “politik wang”, pelakunya boleh bebas begitu sahaja tanpa tindakan undang-undang.
Akhir sekali, ingin saya tegaskan tanpa apa-apa prejudis, bila membicarakan soal keadilan, kita sebenarnya membicarakan soal “HAK”. Keadilan itu adalah HAK dan HAK ini perlu dikembalikan kepada pemiliknya secara total. Setiap pesalah perlu diberikan HAK untuk dibicarakan, setiap HAK rakyat untuk mendapat nikmat dan kemudahan pembangunan mesti ditunaikan tanpa mengambilkira anutan parti politik. Dan yang akhir sekali, HAK kepada setiap bangsa yang tinggal di Malaysia seperti hak beragama, hak untuk memperjuangkan kebudayaan sendiri selagi tidak melangkaui batas-batas keadilan mestilah diraikan.
Untuk itu, marilah kita mulakan persatuan ini dengan diri kita sendiri, jawatan kita sendiri, tugas kita sendiri. Usah hanya bercakap soal perpaduan kalau hanya untuk kepentingan sendiri.
No comments:
Post a Comment