WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Wednesday, July 14, 2010

Tubuh Suruhanjaya Diraja selesai eksploitasi wanita Penan

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin mendesak kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat keberkesanan tindakan Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pihak polis dalam menangani isu penderaan seksual terhadap wanita Penan.
Beliau pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, penubuhan itu harus disegerakan memandangkan usaha yang dilakukan pihak-pihak berkenaan tidak menunjukkan kesan positif.
"Saya desak agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk segera menyiasat keberkesanan tindakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga pihak polis dalam menangani masalah ini.
"Pada bulan Oktober 2009, laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan bagi menyiasat dakwaan penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan di Sarawak telah mendedahkan kepada umum dan menegaskan telah berlaku penderaan seksual kepada gadis dan wanita kaum Penan.
"Laporan tersebut juga telah mendedahkan bahawa terdapat tujuh kes baru penderaan seksual di kalangan gadis dan wanita kaum Penan, selain itu juga menjelaskan usaha-usaha oleh pihak kerajaan untuk melindungi gadis dan wanita kaum Penan masih tidak memberi kesan. Saya kesal sehingga kini tidak ada seorang pun yang diheret ke muka pengadilan untuk bertanggungjawab ke atas penganiayaan ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee yang menolak usul berkenaan untuk dibahaskan.
Ronald menolak usul di bawah peraturan mesyuarat 18(1) itu atas alasan telah wujud Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan dan perkara itu telah pun disiasat oleh jawatankuasa terbabit.
Jelas Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR, beliau mahu usul tersebut dibahaskan di Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian selain menubuhkan satu jawatankuasa diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut.
"Saya kecewa dengan keputusan yang diberikan oleh spearker kerana menolak permohonan usul saya berkenaan kes penderaan seksual wanita Penan, alasan yang diberikan oleh speaker adalah telah wujud Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan," katanya.
Zuraida juga tidak menafikan kemungkinan wujud unsur rasuah dan kronisme dalam kerajaan Sarawak sehingga menyebabkan tindakan undang-undang tidak boleh dikenakan terhadap mereka.
"Mungkin sebab yang terlibat dalam dari Umno-BN serta komisyen yang tinggi dari penguasa balak maka tindakan tidak akan diambil mahupun ditutup begitu sahaja, tetapi jika perkara ini dilakukan oleh mereka dari Pakatan Rakyat, saya rasa baru sahaja kenyataan dikeluarkan, pihak polis mahupun pemimpin Umno terus melenting dengan pelbagai fitnah karut mereka," katanya.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendekati kaum Penan sempena lawatan beliau ke Sarawak nanti bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
"Saya gesa sempena lawatan Najib ke Sarawak nanti janganlah beliau menggunakan sistem 'touch n go' datang tunjuk muka dan terus balik ke berehat di hotel yang mewah, beliau sepatutnya keluar dari jadual asal yang telah disediakan dan pergi mendekati kaum Penan bagi mengetahui apa yang telah berlaku di dalam kaum tersebut.
"Najib jangan hanya mendengar apa yang dilaporkan oleh kakitangannya, beliau sendiri perlu mendengar rintihan wanita yang menjadi mangsa rogol oleh pekerja-pekerja pembalakan. Dengan cara ini sahajalah baru Umno dan semua pemimpin Sarawak bangun untuk mengambil tindakan," katanya.
Ahli Parlimen Sibu, Wong Ho Leng pula turut mengesa Najib bertemu sendiri dengan seluruh masyarakat kaum Penan kerana kegagalan Najib mendekati mereka menyebabkan pihak-pihak yang diberi tanggungjawab bagi menangani masalah tersebut menafikan bahawa wujud kes rogol terhadap gadis dan wanita kaum Penan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails