WALK FOR JUSTICE

WALK FOR JUSTICE


Wednesday, July 14, 2010

Wujud ‘Cina Perkasa’ karut, tiup api perkauman

PULAU PINANG, 14 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menganggap cadangan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lim Siang Chai untuk mewujudkan 'Cina Perkasa' sebagai karut dan tidak bermanfaat.
Jelasnya, cadangan tersebut tidak membawa erti kerana ia akan menimbulkan perasaan cemburu di kalangan kaum dan menambah kemelut isu perkauman yang telah dicipta oleh Barisan Nasional (BN).
"Tidak dinafikan penubuhan Cina Perkasa boleh memberangsangkan isu perkauman sekaligus mengekalkan jurang antara kaum yang akhirnya timbul perasaan kurang senang. Lepas Cina Perkasa mungkin  Datuk Seri S. Samy Vellu pula akan tubuh India Perkasa, lagi bermasalah," tegasnya ketika berucap di Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Seberang Perai di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda, kelmarin.
Dari situ, katanya pasti akan bertembung tiga bangsa perkasa iaitu Melayu di bawah Datuk Ibrahim Ali, Cina di bawah Lim Siang Chai manakala India Perkasa di bawah naungan Samy Vellu.
Sambungnya, apa akan terjadi dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasti tidak kesampaian sebagaimana slogan 'Islam Hadhari' yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hilang ditiup angin begitu sahaja.
"Tengoklah apa yang jadi terhadap slogan Islam Hadhari sepi entah ke mana sedangkan dulu hangat diperkatakan. Begitu juga Cina Perkasa tentunya masing-masing meniup api perkauman yang bakal menghancurkan kestabilan negara," jelasnya.
 Justeru itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan cadangan berkenaan tetapi lebih menumpukan terhadap perancangan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mempertingkatkan sosio ekonomi.
 Berhubung peranan JKKK, Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berharap ia dipertingkatkan sejajar dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.
Katanya, memandangkan penglibatan JKKK terhadap program anjuran kerajaan negeri masih kurang menyerlah, maka pengerusi JKKK harus mempertingkatkan mutu dengan menjalinkan kerjasama dengan JKKK serta mengeratkan persefahaman dengan pejabat daerah.
 "Saya menyeru kepada semua JKKK dan ahli-ahlinya agar senantiasa menjalankan perancangan strategik, menunjukan kesungguhan dan ketekunan serta mengamalkan bekerjsana sebagai satu pasukan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan memmbangunkan kawasan masing-masing kerana baik JKKK, baiklah kerajaan negeri, buruk JKKK buruklah kerajaan negeri yang memerintah," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails